KEDUDUKAN asas ekonomi negara yang kukuh diyakini mampu membolehkan Malaysia berdepan ketidaktentuan global secara terurus susulan pengumuman tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau memaklumkan, reformasi struktur dilaksanakan di bawah kerangka Ekonomi MADANI dilihat dapat membantu negara lebih berdaya tahan serta bersiap siaga mendepani ketidaktentuan ekonomi global.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, daya tahan ekonomi domestik menyukarkan Malaysia terjebak dengan tekanan pihak luar.
“Satu hal yang ingin saya tegaskan, kita mengharungi kekacauan ini dengan asas ekonomi yang kukuh dan meyakini bahawa Malaysia mampu mendepani situasi ini secara terurus.
“Kita mempunyai angka dan data-data yang mampu dikendalikan serta dimanfaatkan secara bijak,” katanya pada sesi penerangan Sesi Mesyuarat Khas Dewan Rakyat mengenai tarif AS, hari ini.
Anwar turut menyifatkan prestasi makroekonomi negara pada tahun lalu sebagai amat meyakinkan, antaranya mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.1 peratus pada tahun 2024 berbanding 3.6 peratus pada 2023, malah pencapaian itu melebihi unjuran Belanjawan 2024 iaitu antara empat hingga lima peratus.
“Selain itu, kita berupaya mengurangkan defisit fiskal secara konsisten iaitu daripada 5.5 peratus pada 2022) kepada 5 peratus (2023), seterusnya 4.1 peratus (2024) dan unjuran 2025 pula pada kadar 3.8 peratus,” kata beliau.
Anwar menjelaskan, Malaysia mencatat pelaburan diluluskan RM378.5 bilion pada 2024 yang juga paras tertinggi dalam sejarah negara dengan peningkatan 14.9 peratus berbanding RM329.5 bilion pada 2023.
Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan mengambil serius tindakan AS mengenakan tarif timbal balas itu.
“Justeru, mengambil kira kepentingan AS sebagai destinasi eksport dan sumber pelaburan asing terbesar Malaysia, kerajaan berpendirian bahawa sebarang cabaran terhadap hubungan perdagangan perlu ditangani secara pragmatik dan berteraskan kepentingan negara, di samping mengekalkan hubungan baik dengan semua rakan dagang Malaysia,” kata beliau.
Isu berkenaan juga, kata beliau, dijangka menjadi agenda utama Sidang Kemuncak ASEAN bersama negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China pada akhir bulan ini.
“Berdasarkan pemerhatian awal, prestasi eksport Malaysia kekal di landasan kukuh, khususnya eksport elektrikal dan elektronik (E&E) yang masih mengekalkan momentum pertumbuhan menggalakkan.
“Dengan penangguhan pelaksanaan tarif timbal balas, impak perdagangan Malaysia dijangka masih lagi terkawal dalam tempoh terdekat ini,” katanya.





