IPOH – Kampus baharu Politeknik Ungku Omar (PUO) di Bercham, di sini, bakal menawarkan lima program Diploma utama dan mampu menempatkan 1,200 pelajar apabila kemasukan pelajar akan dilakukan secara berfasa mulai Februari sebelum dibuka sepenuhnya Ogos tahun ini.
Lima program utama yang ditawarkan merupakan Diploma Perakaunan, Diploma Pengajian Perniagaan, Diploma Kewangan, Diploma Kewangan Islam dan Diploma Pengurusan Peruncitan.
Projek bernilai RM27.1 juta itu dimulakan pada 2018 dan siap sepenuhnya pada 28 Disember 2024
Ia juga menepati Pelan Transformasi Politeknik 2023-2035 dan Rancangan Pemerkasaan Kolej Komuniti.
Kemudahan Berteknologi Tinggi kampus ini dilengkapi dengan enam bilik Technology-enable Collaborative Classroom (TeCC) yang disediakan dengan teknologi Virtual Reality (VR).
Selain itu, ia turut menampilkan ruang kuliah berkonsepkan simulasi bank sebenar, capaian wi-fi di seluruh kawasan kampus, serta pelbagai elemen mesra alam di bawah inisiatif Green Campus.

Teknologi hijau yang diterapkan termasuk lampu penjimatan tenaga, sistem pengumpulan air hujan (Rainwater Harvesting System), dan komponen lain selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Ia dilaksanakan oleh kontraktor utama di bawah agensi pelaksana Jabatan Kerja Raya (JKR) Cawangan Kerja Pendidikan, dengan pengawasan JKR Perak dan Kinta sebagai Penguasa Projek.
Penyerahan projek kampus tersebut diserahkan JKR kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Menurut Dr. Zambry, pembangunan ini bertujuan menyediakan program TVET yang lebih mampan, ruang pembelajaran kondusif, serta peralatan berteknologi tinggi bagi menyokong kemajuan kompetensi pensyarah.
Selain itu, ia membuka peluang kepada aktiviti penyelidikan, pembangunan, inovasi, dan pengkomersialan untuk menyokong ekonomi mampan.
Ujarnya, penambahan infrastruktur ini sekali gus menyokong usaha menjadikan TVET Malaysia sebagai sistem pendidikan yang responsif, fleksibel, dan inklusif dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2030.

Sementara itu, tambah beliau, KPT sedang berusaha untuk menarik minat tenaga pengajar tempatan yang berkhidmat di institusi pengajian tinggi di luar negara supaya kembali berkhidmat di Malaysia.
“Ia telah digerakkan melalui beberapa siri perjumpaan dengan mereka termasuk yang berada di Jepun bagi mengenal pasti apa yang boleh diambil dalam usaha berkenaan.
“Kita melihat negara Jepun mempunyai kehebatan dalam bidang teknikal, namun kita tidak sedar bahawa ada ramai pensyarah yang mengajar di universiti di sana adalah dalam kalangan anak Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya sedang berunding dan berbincang supaya mereka dapat kembali ke Malaysia dan mengajar di institusi-institusi pendidikan di negara terutama dalam bidang inovasi.
Dalam pada itu, Zambry memberitahu pihaknya juga sedang merangka strategi untuk memperkasakan institusi pendidikan politeknik termasuk mengkaji semula Akta 550 bagi politeknik dan kolej komuniti.





