
TAWAU – Cubaan berani mati seorang lelaki ingin meloloskan diri ke negara jiran akhirnya gagal selepas dikesan menyeludup dadah jenis syabu dan ekstasi ketika pemeriksaan di Terminal Feri di sini oleh Polis Bantuan Usahawan Borneo Tawa, di sini pada Isnin.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Polis Tawau hasil pemeriksaan tubuh badan suspek dijumpai tiga peket plastik lut sinar mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dan satu peket plastik jernih berisi dadah jenis pil ekstasi.
“Semasa kejadian, kelihatan seorang lelaki mencurigakan berlegar-legar di kawasan Terminal Feri, Tawau.
“Apabila ditahan, lelaki tersebut bertindak agresif namun berjaya ditangkap. Nilai harga keseluruhan rampasan berjumlah RM17,500.
“Anggaran berat kasar rampasan dadah jenis syabu ialah 261.0 gram dan pil ekstasi adalah 20.52 gram.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” kata kenyataan itu pada Isnin.
Jelas kenyataan yang sama, suspek kemudiannya diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Tawau untuk tindakan lanjut.
Tambah Polis Tawau, ujian air kencing terhadap suspek didapati positif Methamphemine dan Amphetamine.






