KUANTAN – Perbincangan lanjut akan diadakan dalam terdekat bagi menentukan kadar harga air dibekalkan dari Terengganu untuk kawasan perindustrian Gebeng dan Taman Industri Malaysia-China Kuantan (MCKIP).
Walaupun pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) mencadangkan RM1.40 bagi setiap meter padu, namun ia masih terbuka untuk dibincangkan dan belum muktamad.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihak Lembaga Pengarah Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) akan mengadakan pertemuan dengan pihak SATU bagi berunding mengenai kadar harga air itu.
“Mereka cadangkan RM1.40 (satu meter padu), tapi masih boleh bincang lagi kalau boleh diturunkan harga itu.
“Sebab projek ini akan memberi keuntungan kepada negeri Terengganu dan Pahang, jadi kadar atau harga jualan air disalurkan itu, dan kita harap ia boleh dikurangkan sedikit,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Paip Agihan Air dari Kemaman ke Gebeng, dekat sini, hari ini.
Majlis turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Projek pemasangan paip dan infrastruktur terbabit yang membabitkan kos RM115 juta itu dimulakan sejak 2020 dan telah siap sepenuhnya.
Projek berkenaan mampu membekalkan kira-kira 90 juta meter padu air sehari sekaligus dapat menyelesaikan masalah bekalan air khususnya di kawasan perindustrian Gebeng.






