
KOTA KINABALU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah terus memperkukuh pelaksanaan penguatkuasaan dan kempen keselamatan jalan raya sepanjang tahun ini dalam usaha memastikan keselamatan pengguna serta pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan jalan raya.
Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, sejak Januari hingga Oktober 2025, sebanyak 412,475 kenderaan telah diperiksa, dengan 40,097 kenderaan diambil tindakan dan 85,171 notis saman dikeluarkan.
“Sebanyak 203 kenderaan turut disita atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mematuhi had laju, isyarat lalu lintas, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, serta menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
“Antara kesalahan tertinggi yang direkodkan ialah lesen memandu (tiada/tamat tempoh) 17,564 keping, lesen vokasional (tiada/tamat tempoh) 3,681 keping; lesen kenderaan motor tamat tempoh 14,530 keping dan tiada insurans sebanyak 10,452 keping,” katanya semasa sidang media sempena Ops Khas Bersepadu bersama JPJ Malaysia, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Harris berkata, JPJ Sabah juga melaksanakan penguatkuasaan Speed Limitation Device (SLD) terhadap kenderaan perdagangan sejak 1 Oktober 2025.
“Sebanyak 5,993 kenderaan perdagangan diperiksa dan 567 kenderaan diambil tindakan dengan notis temusiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Jelasnya, SLD dilaksanakan dalam tiga fasa bermula Oktober 2025 hingga Julai 2026 bagi mengawal kelajuan dan mengurangkan risiko kemalangan maut melibatkan lori serta bas.
“Statistik menunjukkan bahawa sebahagian besar kemalangan maut di jalan raya melibatkan kenderaan perdagangan yang bergerak melebihi had laju yang ditetapkan,” katanya.
Justeru itu, beliau berkata, pematuhan terhadap penggunaan SLD menjadi amat penting dalam mengawal kelajuan serta memastikan pemandu mematuhi had kelajuan yang dibenarkan mengikut peruntukan undang-undang.
Beliau menegaskan, JPJ akan terus bekerjasama dengan industri, pengusaha logistik dan agensi berkaitan ke arah sasaran sifar kemalangan maut di Malaysia.



