
SIBU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia mengesan seramai 2,685 pemilik kenderaan mewah yang gagal memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) dalam tempoh setahun sehingga 18 Disember 2025, hasil pelaksanaan Ops Luxury yang dilaksanakan di seluruh negara.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Malaysia, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, Ops Luxury dilaksanakan bagi meningkatkan tahap pematuhan pembaharuan LKM khususnya melibatkan kenderaan mewah selaras dengan usaha berterusan JPJ memastikan semua kenderaan yang digunakan di jalan raya mematuhi peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
Daripada jumlah kenderaan yang dikesan tamat tempoh LKM, jenama Porsche mencatatkan bilangan tertinggi iaitu sebanyak 1,887 buah, diikuti Ferrari (223), Lamborghini (195), Bentley (172), Maserati (88), Rolls-Royce (64) dan Aston Martin (56).
Menurut beliau, kegagalan memperbaharui LKM merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan tindakan penguatkuasaan boleh diambil tanpa kompromi terhadap pemilik kenderaan yang ingkar termasuk pengeluaran kompaun, sitaan kenderaan serta tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Beliau turut menjelaskan bahawa penggunaan kenderaan tanpa LKM yang sah berisiko tidak dilindungi insurans sekali gus boleh membawa implikasi kewangan dan liabiliti kepada pemilik kenderaan serta orang awam sekiranya berlaku kemalangan.
Dalam perkembangan berkaitan, sejurus pengumuman Menteri Pengangkutan berhubung pelaksanaan Ops Luxury, JPJ merekodkan peningkatan ketara dalam pembaharuan LKM melibatkan 12,921 kenderaan mewah, dengan jumlah kutipan mencecah RM34.47 juta.
Daripada jumlah tersebut, Porsche sekali lagi mencatatkan angka tertinggi melibatkan 10,142 kenderaan dengan kutipan pembaharuan sebanyak RM17.94 juta.
Untuk rekod, sehingga kini sebanyak 855 kenderaan mewah telah disita oleh JPJ sejak Ops Luxury dilaksanakan bermula Julai 2025 sebagai sebahagian daripada langkah penguatkuasaan berterusan bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya.
JPJ menyeru semua pemilik kenderaan khususnya pemilik kenderaan mewah agar bertanggungjawab memastikan LKM sentiasa diperbaharui mengikut tempoh yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan.
Semakan dan pembaharuan LKM boleh dilakukan melalui saluran rasmi JPJ seperti portal MySikap dan aplikasi MyJPJ selain membantu memastikan keselamatan serta kepentingan semua pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.
JPJ menegaskan bahawa pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan secara berterusan tanpa kompromi bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang jalan raya berada pada tahap terbaik demi keselamatan dan kepentingan awam.




