Johor melangkah maju melalui muafakat, kerjasama politik dan reformasi ekonomi

KOTA ISKANDAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling, Liew Chin Tong menegaskan bahawa kejayaan Johor dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan, sekali gus menjadi model baharu politik matang dan berpaksikan kestabilan.

Dalam ucapan perbahasan usul menjunjung kasih atas titah Diraja di Dewan Undangan Negeri Johor, beliau menyifatkan gabungan kepimpinan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai faktor utama yang memacu pembangunan pesat negeri itu.

Menurut beliau, kestabilan politik yang terhasil selepas penubuhan Kerajaan Perpaduan pada 2022 telah membuka ruang kepada pelbagai inisiatif strategik termasuk penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang kini menjadi tarikan utama pelaburan serantau.

“Johor kini berada di landasan terbaiknya. Segala-galanya seolah-olah berpihak kepada negeri ini,” katanya, merujuk kepada keyakinan pelabur serta pelaksanaan projek-projek mega seperti RTS Link Johor Bahru-Singapura dan landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru.

Walaupun mengiktiraf pencapaian tersebut, Liew menegaskan bahawa Johor tidak terlepas daripada cabaran besar yang memerlukan perhatian segera. Antaranya ialah jurang pembangunan antara kawasan selatan dengan Johor tengah dan utara.

Beliau menekankan keperluan pembangunan mampan di kawasan luar bandar, termasuk memperkasa sektor pertanian sebagai sumber ekonomi baharu bagi golongan muda, selain menangani isu penuaan penduduk.

Dalam masa sama, isu gaji rendah dan peningkatan kos sara hidup turut dibangkitkan sebagai kebimbangan utama rakyat, khususnya di kawasan Greater Johor Bahru.

“Ramai rakyat terpaksa berhijrah ke Singapura kerana gaji yang lebih tinggi. Ini adalah realiti yang perlu kita ubah,” katanya.

Beliau mencadangkan transformasi ekonomi daripada model “negara dagang” kepada “negara teknologi” bagi meningkatkan nilai pekerjaan dan pendapatan rakyat tempatan.

Mengulas mengenai masa depan struktur ekonomi negara, beliau menyokong cadangan perkongsian hasil 25 peratus antara Persekutuan dan negeri seperti yang dititahkan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Menurutnya, pendekatan tersebut mampu memperkukuh federalisme serta memberi kuasa lebih besar kepada negeri untuk mengurus pembangunan, termasuk penyelenggaraan infrastruktur.

Beliau turut mencadangkan agar Johor Bahru diangkat sebagai ibu kota ekonomi kedua negara selepas Kuala Lumpur, selaras dengan peranannya dalam JS-SEZ.

Dalam konteks politik semasa, Liew menegaskan bahawa Malaysia kini telah memasuki era baharu yang tidak lagi didominasi oleh satu parti.

“Rakyat tidak lagi menerima politik dominasi. Suara rakyat adalah keramat dan perlu dihormati oleh semua pihak,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan pengundi jalan tengah serta generasi muda (Gen Z) sebagai penentu masa depan politik negara, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

Mengakhiri ucapannya, Liew menyeru semua pihak agar mengetepikan perbezaan politik demi kepentingan rakyat dan masa depan negeri.

“Muafakat membawa berkat. Kerjasama adalah kunci untuk memastikan Johor terus maju dan makmur,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa hanya melalui keikhlasan dan persefahaman antara parti-parti politik, formula perpaduan yang ada kini dapat diterjemahkan kepada kejayaan yang berpanjangan untuk Johor dan Malaysia.

Related Posts

Krisis USNO: Timbalan Presiden, 5 yang lain digantung serta-merta

KOTA KINABALU – Pergolakan dalaman USNO kini semakin tegang apabila enam ahlinya termasuk Timbalan Presiden digantung keahlian serta-merta, sekali gus mendedahkan krisis disiplin yang serius dalam parti itu. Presiden USNO,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Dua ADUN Bersatu masih mahu kekal sebagai pembangkang Negeri Sembilan

SEREMBAN – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu di Negeri Sembilan mengambil pendirian berkecuali berhubung krisis politik yang berlaku di Negeri Sembilan. ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad memaklumkan, pendirian berkecuali itu…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Krisis USNO: Timbalan Presiden, 5 yang lain digantung serta-merta

Krisis USNO: Timbalan Presiden, 5 yang lain digantung serta-merta

Dua ADUN Bersatu masih mahu kekal sebagai pembangkang Negeri Sembilan

Dua ADUN Bersatu masih mahu kekal sebagai pembangkang Negeri Sembilan

Johor melangkah maju melalui muafakat, kerjasama politik dan reformasi ekonomi

Johor melangkah maju melalui muafakat, kerjasama politik dan reformasi ekonomi

Menang ke atas Atletico Madrid, Arsenal ke final Liga Juara-Juara

Menang ke atas Atletico Madrid, Arsenal ke final Liga Juara-Juara

Kuota jemaah haji Malaysia musim ini ditutup

Kuota jemaah haji Malaysia musim ini ditutup

‎USNO bergolak: Pandikar hilang sokongan, didesak berundur

‎USNO bergolak: Pandikar hilang sokongan, didesak berundur