
KOTA KINABALU – Krisis dalaman Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) semakin memuncak apabila Ketua Penerangan, Iskandar Zulkarnain Ramli secara terbuka mendakwa Presiden, Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah kehilangan sokongan majoriti kepimpinan, susulan keputusan kontroversi membawa parti keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Iskandar berkata, tindakan Pandikar bukan sahaja tidak bijak dan tergesa-gesa, tetapi dilakukan tanpa persetujuan parti, sekali gus mencetuskan perpecahan dalam kalangan pimpinan tertinggi.
”Keputusan tersebut bukanlah keputusan sebulat suara. Kehadiran 19 daripada 26 Ketua Bahagian bersama majoriti Ahli Majlis Tertinggi (AMT) dalam sidang media semalam membuktikan majoriti kepimpinan USNO tidak lagi bersetuju dengan pendekatan dan hala tuju yang dibawa oleh presiden.
”Ini bukan lagi sekadar perbezaan pandangan biasa. Ini adalah isyarat politik yang sangat jelas bahawa Tan Sri Pandikar telah kehilangan keyakinan dan sokongan besar daripada pimpinan parti sendiri.
”Sayap-sayap utama parti seperti Kaum Ibu dan Kumpulan Generasi Baru (KGB) juga tidak pernah dibawa berbincang secara menyeluruh sebelum keputusan besar ini diumumkan kepada umum,” kongsinya dalam kenyataan media pada Selasa.
Tambah Iskandar, keputusan meninggalkan GRS juga dilihat tidak berasas memandangkan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika ini mempunyai rekod kestabilan yang lebih baik, selain USNO sendiri tidak mempunyai sebarang kerusi di Dewan Undangan Negeri.
”USNO tidak boleh terus ditadbir dengan pendekatan lama yang terlalu tertumpu kepada keputusan individu, sedangkan suara akar umbi, bahagian dan pimpinan parti semakin diketepikan.
”Parti ini memerlukan kepimpinan yang lebih matang, lebih demokratik dan lebih memahami realiti politik semasa serta aspirasi sebenar ahli-ahli di bawah.
”Atas sebab itu, saya berpandangan Tan Sri Pandikar Amin Mulia wajar melepaskan jawatan Presiden USNO secara terhormat demi menyelamatkan masa depan parti dan memberi ruang kepada proses regenerasi kepimpinan yang lebih segar, lebih inklusif dan lebih diyakini oleh ahli-ahli parti,” tegasnya.
Tambahnya, peralihan kepimpinan bukanlah penghinaan terhadap presiden parti tersebut.
”Ia bukan penghinaan terhadap jasa seseorang pemimpin, tetapi dalam politik, apabila keyakinan majoriti sudah mula hilang, keberanian untuk berundur secara terhormat adalah juga satu bentuk kepimpinan.
”USNO terlalu besar untuk terus dipimpin berdasarkan keputusan unilateral dan sentimen individu.
”Sudah tiba masanya suara akar umbi didengar, dihormati dan diberikan kembali peranan dalam menentukan masa depan parti,” tegasnya.
Pandikar memaklumkan dalam Mesyuarat Ahli Majlis Eksekutif Tertinggi (AMET) pada 22 April lepas telah memutuskan keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau turut meletakkan jawatan secara rasmi sebagai Timbalan Pengerusi GRS dan semua jawatan berkaitan kerajaan semasa pertemuan bersama-sama Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor pada 21 April lepas.
Menurutnya, keputusan itu disebabkan tidak wujudnya keserasian dalam aspek pentadbiran dan dasar kerajaan khususnya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17.
Tambahnya, USNO mengambil pendirian untuk kekal sebagai parti politik yang berteraskan perjuangan pribumi lokal Sabah dan akan komited dalam proses semak dan imbang.



