
KUANTAN – Proses bedah siasat tiga daripada lima individu yang ditemukan maut di Taman Cherating Damai semalam, dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, prosedur bedah siasat terhadap lelaki berusia 32 tahun yang dipercayai membunuh keluarganya dan isterinya berusia 28 tahun sudah selesai semalam.
“Baki tiga lagi mayat ialah ibu suspek berusia 55 tahun dan dua anak perempuannya masing-masing berusia tiga dan empat tahun bermula jam 8.45 pagi tadi.
“Semua mayat akan diserahkan kepada keluarga sebaik saja proses bedah siasat selesai untuk urusan seterusnya,” katanya kepada Berita Harian.

Semua lima jenazah itu dijangka dikebumikan di tanah perkuburan di Cherating selepas solat Zohor hari ini.
Semalam, suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dipercayai membunuh empat ahli keluarganya sebelum bertindak menamatkan riwayat hidupnya sendiri di rumah teres setingkat didiami mereka di Taman Cherating Damai kira-kira jam 7 pagi.





