
SEMPORNA – Sebanyak 39 keping saman dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna atas pelbagai kesalahan trafik menerusi Operasi Cegah Jenayah (OCJ) Op Selamat di di KM 2, Jalan Semporna–Tawau, di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Polis Tan Hiap Wah berkata, operasi sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) bersama Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) itu bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
“Operasi ini adalah untuk mengesan kenderaan curi, membanteras aktiviti jenayah seperti pecah rumah dan penyeludupan, mengesan individu yang dikehendaki polis (wanted person) serta mengambil tindakan terhadap pelbagai kesalahan lalu lintas dalam usaha mengurangkan kemalangan jalan raya.
“Semasa pemeriksaan, antara kesalahan dilakukan termasuklah tidak memiliki lesen memandu yang sah, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans serta kesalahan teknikal kenderaan,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Tegas Tan, operasi seumpama ini akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa khususnya menjelang musim perayaan bagi mencegah sebarang aktiviti jenayah sekali gus memastikan orang ramai dapat menyambut perayaan dalam keadaan aman dan selamat.
Tan turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika meninggalkan kediaman, memastikan rumah dalam keadaan berkunci dan selamat serta tidak memandu dalam keadaan cuai atau di bawah pengaruh alkohol.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar undang-undang.
“Kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu pihak polis mengekalkan keamanan dan keselamatan daerah Semporna.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah diminta untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya,” ujarnya.






