
SANDAKAN – Kerajaan Negeri Sabah menggerakkan semua agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan mangsa kebakaran besar di Kampung (Kg) Bahagia, Batu Sapi, di sini, terjamin.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, usaha itu turut melibatkan penyediaan bantuan segera supaya mangsa berada dalam keadaan selamat dan selesa.
“Saya amat berdukacita menerima laporan kebakaran besar yang melibatkan ratusan buah rumah di Kg Bahagia, Batu Sapi, Sandakan.
“Keutamaan kita ketika ini adalah untuk memastikan kebajikan semua mangsa dijaga termasuk penyediaan tempat perlindungan sementara, makanan serta keperluan asas,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, pada Ahad.
Menurut Hajiji, kerajaan negeri akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan memastikan segala bentuk bantuan disalurkan dengan segera serta berkesan.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim turut menzahirkan rasa terkesan susulan kejadian berkenaan yang memusnahkan ratusan kediaman penduduk kampung.
“Keutamaan kini adalah keselamatan mangsa serta bantuan segera di lapangan.
“Kerajaan Persekutuan sedang menyelaras bersama Kerajaan Negeri Sabah untuk bantuan asas dan penempatan sementara sesegera mungkin,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, sekurang-kurangnya 8,000 penduduk hilang tempat tinggal apabila kira-kira 1,000 rumah musnah dalam kebakaran berkenaan.





