PENGENDALI Bayern Munich, Vincent Kompany menegaskan musim pasukannya masih belum berakhir walaupun sudah mengesahkan kejuaraan Bundesliga dengan empat perlawanan berbaki.
Kemenangan 4-2 ke atas Stuttgart membolehkan Bayern mendahului liga dengan kelebihan 15 mata, namun sambutan diraikan secara sederhana kerana pasukan itu masih memburu dua lagi trofi.
Bayern dijadual berdepan Bayer Leverkusen dalam separuh akhir Piala Jerman sebelum bertandang ke gelanggang Paris Saint-Germain bagi aksi separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.
“Musim belum berakhir. Masih ada trofi untuk dimenangi. Kami berdepan cabaran besar menentang PSG, tetapi sebelum itu fokus kepada Leverkusen,” kata Kompany.
Beliau menambah tempoh beberapa minggu akan datang menjadi penentu, dengan pasukan perlu mengekalkan fokus tinggi.
Kompany, yang mengambil alih daripada Thomas Tuchel pada tahun 2024, berjaya mengembalikan dominasi domestik Bayern selepas Leverkusen memecah penguasaan mereka musim lalu.
Di bawah bimbingannya, Bayern turut mencatat beberapa rekod Bundesliga termasuk jumlah jaringan terbanyak dalam satu musim.
Bayern kali terakhir menjuarai Liga Juara-Juara pada tahun 2020 dan kini memburu gelaran ketujuh Eropah.
“Kami akan meraikan kejayaan ini, tetapi fokus utama adalah apa yang masih boleh dicapai,” katanya.






