
KUCHING – Lebih 300 kilometer rangkaian paip lama di Bahagian Sarikei akan diganti dalam usaha kerajaan Sarawak memperkukuh sistem bekalan air luar bandar dan mengurangkan kadar air tidak terawat (NRW) yang tinggi.
Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada Program Penggantian Paip yang kini giat dilaksanakan di seluruh negeri dengan peruntukan berjumlah RM1.1 bilion.
“Di Sarikei, banyak paip yang masih digunakan kini berusia lebih setengah abad, kebanyakannya daripada jenis asbestos cement (AC) yang sudah usang dan mudah pecah. Ini menyebabkan kebocoran yang menyumbang kepada kadar NRW yang tinggi di luar bandar,” katanya semasa sidang media pada Majlis Sambutan Hari Air Sedunia 2025 JBALB Sarawak pada Selasa.
Menurut Awg Mohammad Fadillah, lebih 300 projek penggantian paip sedang dilaksanakan di seluruh Sarawak termasuk di Sarikei.
“Tempoh kerja tersebut dijangka mengambil masa antara tiga hingga 10 bulan bagi setiap projek bergantung kepada skala dan lokasi,” jelas beliau.
Beliau turut menggalakkan orang ramai untuk segera melaporkan sebarang insiden kebocoran paip kepada pihak berwajib bagi memastikan tiada pembaziran air berterusan.
“Usaha penggantian paip ini merupakan salah satu inisiatif penting Kerajaan Sarawak dalam memastikan akses kepada air bersih dan berkualiti untuk rakyat, khususnya di kawasan luar bandar menjelang 2030,” tambah beliau.





