JOHOR BAHRU – Kedudukan sebagai ketua cabang, ketua wanita atau ketua pemuda PKR bukan jaminan dipilih sebagai calon Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan menandatangani watikah pencalonan selagi kekuatan cabang belum cukup kemas berdepan PRU.
“Tak ‘perform’ di cabang, jangan buat tuntutan. Kita banyak pengalaman yang merajuk, nak bantah, nak keluar, isu semua kita sudah lalui, yang jadi tunggak dan keputusan akhir adalah kekuatan sokongan.
“Bila nak PRU, bicaranya hebat, teorinya banyak, strateginya canggih tapi kekuatan kurang. Justeru, diingatkan supaya gerakkan kekuatan parti.
“Ketua cabang bukan automatik calon, ketua wanita, ketua pemuda juga bukan, tapi yang automatik jadi calon itu, mereka bekerja, berdedikasi dan mampu menangkan parti,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Johor di Ekoflora, pada Ahad.
Anwar yang juga Perdana Menteri mengingatkan semua parti itu, khususnya di Johor menggerakkan jentera parti menjelang Pilihan Raya Umum ke 16 (PRU16).
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, semua ahli parti agar tidak terlalu selesa setelah menjadi kerajaan, sebaliknya terus memperkukuh sokongan terhadap parti.
“Setiap ahli perlu menunjukkan keikhlasan dan komitmen kerja yang tinggi dalam membina kekuatan khususnya di peringkat akar umbi.
“Kita perlu ingat, bukan mudah untuk berada di kedudukan pada hari ini. Parti ini penuh dengan perjuangan, kalau mahu pertahankan kedudukan, kita perlu tunjuk contoh yang baik.
“Ini kerana kita belum ada kekuatan untuk putuskan semua perkara. Jadi, kita perlu persiapkan diri sebelum tibanya pilihan raya,” katanya.






