
MIRI – Pelaksanaan program pembangunan usahawan menunjukkan impak positif yang memberangsangkan apabila pesertanya berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan menjana nilai jualan sebanyak RM73 juta.
Kejayaan tersebut turut menarik perhatian SCPB Bank yang melihat potensi besar program berkenaan dalam memperkukuh sumber pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Susulan peningkatan jualan eksport itu, SCPB Bank dilaporkan menyalurkan pinjaman berjumlah kira-kira RM80 juta bagi menyokong pertumbuhan perniagaan syarikat yang terlibat.
Sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan, bank bukan sekadar berfungsi sebagai entiti promosi, malah menyediakan kemudahan pembiayaan jangka pendek dan panjang bagi merangsang pertumbuhan ekonomi khususnya dalam sektor eksport.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Pengeksport Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Mansor Shah Wahid berkata, jumlah keseluruhan pembiayaan yang direkodkan hasil program eksport berkenaan mencecah lebih RM150 juta.
“Perkembangan ini sekali gus membuktikan keberkesanan inisiatif tersebut dalam memperkukuh ekonomi negara serta memperluaskan lagi rantaian perdagangan antarabangsa.
“Perdagangan antarabangsa yang rancak mampu membawa masuk dana luar ke dalam negara. Ia ibarat perniagaan yang berkembang daripada sekadar jualan kepada pelanggan dalam kalangan keluarga, berubah kepada pasaran luar yang lebih meluas,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kejayaan program tersebut yang bukan sahaja membantu mengembangkan perniagaan PKS, malah turut merancakkan ekonomi setempat pada Selasa.
Dalam pada itu, Mansor Shah menasihatkan semua pihak agar memaksimumkan penggunaan teknologi digital secara bijak dan beretika.
“Teknologi bukan sekadar untuk hiburan, tetapi perlu dimanfaatkan sebagai platform perniagaan menerusi medium e-dagang dan pemasaran digital.
“Usahawan tempatan juga digesa terus memperkukuh kedudukan di pasaran antarabangsa agar produk kita kekal berdaya saing. Jika usahawan kita tidak menembusi pasaran luar, produk luar yang akan membanjiri pasaran tempatan dan mewujudkan persaingan lebih sengit,” tegasnya.
Jelas beliau, usaha memperluaskan pasaran ke luar negara perlu sentiasa dipergiatkan untuk memastikan produk tempatan terus berkembang dan asas ekonomi negara kekal kukuh, di samping berharap kerjasama strategik antara semua pihak dapat diteruskan pada masa hadapan.
Mengakhiri bicara, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program itu, terutamanya usahawan tempatan Miri yang mempamerkan komitmen tinggi.
Antara pihak yang memainkan peranan penting ialah wakil sektor logistik, perusahaan tempatan, rakan strategik Matrade, Sarawak Youth Coordination, Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Miri, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Borneo Inspired serta para peserta program.





