
SANDAKAN – Sebanyak 30 buah rumah jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran di Jalan Bokara, Kampung (Kg) Karamunting, di sini, awal pagi Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Langung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.16 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan tiba di lokasi kira-kira jam 3.34 pagi.
“Kebakaran melibatkan kawasan seluas kira-kira 3.5 ekar dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 4.29 pagi.
“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan tiga aliran sepanjang 500 kaki dengan lima pancutan air, menggunakan sumber daripada tangki jentera, water tanker serta pili bomba berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan terlibat atau mengalami kecederaan dalam kejadian itu.
“Pasukan bomba turut berjaya menyelamatkan kira-kira 100 buah rumah berhampiran daripada turut terbakar,” katanya.
Tambahnya, seramai 21 anggota BBP Sandakan bersama enam buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 16 kilometer (km).
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 7.01 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.





