
TIDAK sepatutnya Qunut Nazilah yang merupakan doa khusus bagi umat Islam ketika menghadapi ancaman besar terhadap agama serta keselamatan digunakan dalam konteks perselisihan atau konflik sesama Muslim.
Pendakwah serta penceramah bebas, Ustaz Muhaizad Muhammad berkata, tindakan Ahli Parlimen pembangkang membaca Qunut Nazilah di Dewan Rakyat, baru-baru ini jelas menunjukkan amalan politik taasub, sempit dan melampau.
Menurutnya, umat Islam tidak boleh membaca Qunut Nazilah kepada sesama Muslim ketika terdapat pertembungan tidak mengira apa jua alasan, termasuk perselisihan politik.
“Sepatutnya doa hidayah supaya dibantukan (dipermudahkan) pemerintahan dan juga sesama Islam. Jangan menyebabkan politik, hati kita menjadi buta. Ilmu agama seharusnya membimbing hati kita semakin menyayangi.
“Ini tidak, apabila bercanggah, kita doa laknat. Nabi Muhammad pun ada kata, baginda dibangkitkan bukan untuk melaknat orang. Orang kafir pun, doa khusus hanya seketika sahaja. Itupun sebab Rasulullah SAW tahu dia akan kafir sampai mati,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran video yang dikongsi di TikTok yang menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen dan bersetuju dengan pandangan disuarakan oleh Muhaizad.
Mengulas lanjut, Muhaizad menegaskan, seharusnya ahli politik beragama Islam menunjukkan kepimpinan yang dibawa oleh Rasulullah sehingga segala tindakan atau pandangan diberikan akan diterima secara terbuka oleh masyarakat bukan Islam dan Muslim.
Sehubungan itu, beliau yang juga Penasihat Madrasah Ribat Al- Musthofa berpandangan untuk pemimpin tidak melabelkan hanya parti mereka sahaja benar dan ‘terpaling’ mampu membawa agama Islam di negara ini.
“Sepatutnya mereka yang membimbing tapi kita dipamerkan dengan benda yang tidak menampilkan Islam walaupun dari segi luaran orangnya dan otaknya Islam. Penat kalau (pemimpin) bersikap sebegini.
“Sebab itu jangan cepat sangat, labelkan kumpulan kita Islam, takut tersilap langkah, orang akan pandang serong kepada kita. Diharapkan insaf dari perbuatan terbabit. Jangan lagi mencemarkan imej agama Islam.
“Sebagai pemimpin Islam, tunjukkan contoh yang terbaik agama orang kafir, sekular mahupun liberal terpukau dengan kepimpinan Islam yang dibawa, di samping tidak menyebarkan aib masyarakat, khususnya sesama Islam,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen pembangkang dilaporkan membaca doa Qunut Nazilah selepas Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.
Wan Ahmad Fayhsal digantung daripada menghadiri sidang Parlimen susulan usul Jabatan Perdana Menteri kerana membangkitkan surat layang ketika perbahasan, berkaitan dakwaan ke atas penjawat awam dengan maklumat yang tidak disahkan.







