
PUTRAJAYA – Dua nama iaitu Sheikh Razali Hamad dan Sun Najaman Muhamad, kini disebut-sebut bakal menjadi calon Bersatu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Sheikh Razali merupakan ahli Bersatu yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO Gua Musang, manakala Sun Najaman pula merupakan penggawa (Penghulu Kerajaan Negeri) di Dabong.
Sehingga kini, Bersatu masih berteka-teki dan belum memuktamadkan lagi sama ada untuk memilih Sheikh Razali atau Sun Najaman kerana perlu mengambil kira pandangan Pas Gua Musang.
Bagaimanapun, sumber daripada Bersatu memaklumkan The Malaysia Press bahawa kebanyakan pemimpin negeri mahu Sun Najaman dipilih sebagai calon di kawasan itu, kerana anak tempatan dari Kesedar Sungai Asap dan merupakan calon yang paling layak untuk mewakili Perikatan Nasional (PN).
“Ketika ini, ada pelbagai tekanan daripada kepimpinan dalam PN yang inginkan Sheikh Razali jadi calon, siap ada sudah kepimpinan kanan telah berjumpa dengannya berbanding Sun Najaman.
“Sun Najaman lebih bagus dicalonkan pada PRK DUN Nenggiri ini kerana dia anak peneroka dan PN boleh gunakan kelebihan beliau untuk mengekalkan kerusi di kawasan tersebut.
“PN memerlukan undi peneroka, sebab itu, Sun Najaman adalah calon paling layak. Dia adalah orang tempatan yang lahir di Nenggiri dan Sheikh Razali adalah orang (DUN) Galas. Kalau Bersatu angkat Sun Najaman, pengundi pasti akan memilihnya,” katanya kepada The Malaysia Press, hari ini
Sementara itu, Sheikh Razali ketika dihubungi mengakui bahawa beliau telah disenarai pendek sebagai calon, namun beliau tidak tahu sama ada dirinya terpilih atau sebaliknya.
Menurutnya, pihaknya menyerahkan keputusan kepada pucuk kepimpinan susulan beliau merupakan seorang penjawat awam dan berat hati untuk melepaskan jawatan tersebut.
“Saya akui, nama saya ada dalam tiga nama yang yang dipilih sebagai calon tapi siapa akan terpilih, masih belum ada keputusan atau watikah seperti mana yang telah dilakukan oleh Barisan Nasional (BN). Saya serahkan kepada parti untuk buat pilihan.
“Saya mengharapkan agar penyokong PN kekal tenang kerana kita tahu siapa yang akan dipilih nanti adalah mereka paling layak untuk mempertahankan kerusi DUN Nenggiri daripada dirampas oleh Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Sebelum ini, Bersatu berkata, pihaknya akan memastikan calon yang ditampilkan parti itu untuk bertanding pada PRK Nenggiri turut diterima baik oleh Pas.
Pengerusinya, Datuk Kamaruddin Md Noor berkata, perkara itu penting bagi memastikan proses berkempen sepanjang PRK berjalan lancar.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan.