
PELAJAR di bawah pentadbiran Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak harus takut dan timbul kebimbangan dilabel gelaran ‘jibam’, atau ‘Mat Repot’ hanya kerana membuat laporan berkenaan insiden buli.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jangan berasa ragu dan perlu berani tampil untuk melaporkan perbuatan buli yang berlaku di asrama agar tidak membiarkan diri pelajar sendiri mahupun rakan-rakan lain menjadi mangsa perbuatan itu dalam apa jua bentuk sekali pun.
“Kita kena sama-sama hentikan budaya buli. Tiada tempat untuk pembuli mahupun sebarang bentuk budaya buli di IPMA (Institusi Pendidikan Mara) termasuk MRSM (Maktab Rendah Sains Mara).
“Jika saya tahu ada pihak yang cuba tutup atau pertahankan pembuli mahupun kes buli, tindakan amat tegas akan diambil termasuk ke atas Pengetua, Pengarah, Warden, Guru atau sesiapa sahaja,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, Khamis.
Mengulas lanjut, Asyraf memaklumkan, selama dua tahun saya menerajui MARA, ruangan media sosial sama ada di Facebook, Instagram, Tiktok mahupun X menjadi ruangan yang dimanfaatkan sepenuhnya beliau untuk mendapatkan maklum balas semua pihak.
Jelasnya, pendekatan terbabit dilaksana dengan bertujuan ke arah menambah baik potensi institusi yang menjadi payung kepada agenda Melayu serta Bumiputera.
“Bila saya mula #Terjah ke Institusi-institusi Pendidikan MARA (IPMA), semuanya berdasarkan aduan dan maklumbalas ibubapa, pelajar dan pendidik.
“Alhamdulillah banyak perkara seperti isu kartel dan kualiti dewan selera, makanan, tandas, asrama, bilik guru dan fasiliti lain di IPMA berjaya diselesaikan,” katanya.
Terdahulu, MARA menamatkan serta-merta pengajian tujuh pelajar yang didapati terbabit buli fizikal termasuk bersubahat dengan perbuatan itu dalam kejadian yang dilaporkan berlaku di sebuah MRSM di Pulau Pinang.
Ia selepas satu rakaman video berdurasi 1.31 minit tersebar di media sosial memaparkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain dalam keadaan tertiarap di atas katil
Polis Pulau Pinang juga telah membuka satu kertas siasatan berhubung satu klip video memaparkan insiden buli di sebuah bilik dipercayai asrama yang tular di media sosial sejak Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintenden Jay January Siowou berkata, siasatan akan dijalankan secara holistik dengan mengambil kira semua aspek.
Menurutnya, polis mengambil tindakan proaktif dengan mengesan lokasi institusi terlibat dan semua individu yang dilihat dalam video berkenaan untuk dirakam keterangan.





