
PUTRAJAYA – Pembangkang dinasihatkan agar berperanan sebagai semak dan imbang kepada kerajaan dengan berwibawa, bukan bersikap melalui kritikan semata-mata khususnya dalam isu global membabitkan bekalan dan harga tenaga.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pembangkang seharusnya mengemukakan pandangan serta saranan dasar yang konkrit, berasaskan fakta dan realiti semasa.
Menurut beliau, Malaysia memerlukan budaya politik yang matang berteraskan ketepatan berfakta, beradab dan berorientasikan penyelesaian.
“Dalam keadaan krisis, penyederhanaan isu kompleks melalui retorik yang tidak lengkap bukan sahaja tidak membantu malah berisiko menjejaskan kejelasan dasar serta kefahaman rakyat.
“Sehubungan itu, perbezaan pandangan terhadap dasar kerajaan tidak wajar disederhanakan kepada tuduhan penipuan yang tidak disokong oleh analisis ekonomi serta fakta yang dapat diverifikasi kerana pendekatan sedemikian berisiko mengelirukan masyarakat dan mengalihkan fokus daripada perbahasan dasar yang lebih substantif,” katanya menerusi kenyataan, pada Khamis.
semalam, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan mendakwa tiada sebab kerajaan menaikkan harga minyak susulan kapal Malaysia tidak termasuk dalam senarai sekatan laluan di Selat Hormuz.
Dalam artikel bertajuk ‘Umat Islam ditipu lagi’ Abdul Hadi turut mendakwa harga minyak juga tidak wajar dinaikkan di Semenanjung memandangkan negara ini mempunyai sumber petroleum sendiri.
Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi berpendapat, keperluan buat kerajaan memperkasa komunikasi dasar secara telus dan konsisten agar setiap langkah dapat difahami dengan jelas oleh rakyat.
Selain itu, katanya, kerajaan perlu memastikan pelaksanaan subsidi bersasar berkesan, pemantauan ketirisan serta langkah strategik untuk memperkukuh keselamatan tenaga negara.
“Dalam menilai dasar semasa, kenyataan dan janji terdahulu juga perlu difahami dalam konteks yang dinamik. Sebarang perubahan pendekatan wajar disertai penjelasan yang jelas agar tidak menimbulkan kekeliruan atau jurang persepsi.
“Dalam suasana krisis, kejujuran dasar dan kejelasan komunikasi merupakan sebahagian daripada amanah kepimpinan yang perlu dipelihara,” katanya.
Ahmad Fahmi berkata, perbincangan awam sewajarnya ditumpukan kepada usaha memperkukuh mekanisme subsidi bersasar yang lebih tepat dan inklusif bagi melindungi golongan rentan, memperkasa strategi keselamatan tenaga negara yang mampan serta memastikan keseimbangan antara perlindungan sosial dan kelestarian fiskal dicapai secara bertanggungjawab.
Pada masa sama, katanya, ABIM menyeru masyarakat untuk mengamalkan prinsip tabayyun dengan menyemak kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya, serta mengamalkan gaya hidup berhemah dalam penggunaan sumber selaras dengan nilai kesederhanaan yang dianjurkan Islam.
“ABIM turut mengajak semua pihak, sama ada parti politik, pertubuhan masyarakat madani, sektor swasta mahupun rakyat keseluruhannya, untuk mencari titik kesepakatan, berganding bahu dan saling membantu sebagai persediaan menghadapi krisis tenaga yang dijangka berpanjangan serta memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat.
“Pendekatan kolektif dan semangat tanggungjawab bersama amat penting bagi memastikan negara mampu mengharungi cabaran ini dengan lebih tersusun dan berdaya tahan,” katanya.



