ALOR SETAR — Polemik berkaitan penganjuran festival berunsur air kembali mencetuskan perdebatan apabila kenyataan Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah mengenai Festival Muzik Air mendapat kritikan balas daripada Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Haim Hilman secara sinis mengucapkan ‘tahniah’ kepada Kerajaan MADANI atas penganjuran festival tersebut, sambil menyifatkan ia memudahkan rakyat membuat pilihan menjelang pilihan raya akan datang.
Kenyataan itu dilihat sebagai kritikan terhadap pendekatan Kerajaan Persekutuan dalam menganjurkan program hiburan yang dikaitkan dengan penggunaan air ketika negara berdepan isu cuaca panas dan tekanan sumber.
Bagaimanapun, kenyataan itu segera disanggah oleh Shaiful Hazizy yang mempersoalkan perbezaan antara festival berkenaan dengan penganjuran Pesta Songkran di Kedah.
“Apa beza dengan Pesta Songkran Kedah? Air dia lain? Air dia suci sangatkah?” soal beliau dalam hantaran balas di Facebook.
Pertikaian itu mengundang perhatian kerana Kerajaan Kedah sebelum ini turut menganjurkan Pesta Songkran peringkat negeri yang melibatkan kira-kira 5,000 masyarakat Siam di Wat Phikulthararam, Pedu.
Sebanyak RM40,000 diperuntukkan bagi penganjuran peringkat negeri, selain tambahan RM30,000 kepada wat-wat lain bagi aktiviti serupa.


