Rujuk prinsip nilai, adab dalam penganjuran acara berunsur hiburan

KUANTAN – Setiap penganjuran program perlu merujuk kepada prinsip yang jelas tanpa mengetepikan nilai dan adab.

Selain itu, sebarang kelulusan pula sepatutnya mengambil kira sensitiviti agama dan penerimaan masyarakat setempat.

Penganjuran program atau aktiviti yang secara jelas berpaksikan hiburan melalaikan dan mengabaikan norma masyarakat, tidak sepatutnya diberi ruang untuk bertapak di negara ini yang majoriti rakyat beragama Islam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Lantikan) Pahang, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah menegaskan, tidak ada alasan boleh digunakan untuk membenarkan penganjuran program seumpama itu diadakan di negara ini.

“Janganlah guna alasan untuk menarik kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia… banyak lagi cara lain yang lebih berhemah dan beradab yang boleh kita anjur jika ingin menambah kehadiran pelancong.

“Saya fikir semua rakyat di Malaysia bersetuju bahawa negara ini adalah negara yang majoriti penduduk beragama Islam, bahkan Islam adalah agama persekutuan, jadi kita perlu bertegas dalam menghalang acara berbentuk hiburan secara berlebihan. Jangan normalisasikan hiburan yang luar dari batasan peradaban kemanusiaan.

“Apatah lagi jika acara dan program itu memberi peluang kepada pergaulan bebas antara berbeza jantina,” katanya ketika mengulas mengenai isu penganjuran acara di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap sikap terlalu berlembut ditunjukkan pihak berkaitan dalam menangani perkara itu.

Katanya, pandangan dan teguran dikemukakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sepatutnya dihormati pihak penganjur.

“Pandangan itu wajar dihormati kerana ia mencerminkan kegusaran sebahagian besar rakyat Malaysia.

“Garis panduan untuk menganjurkan sesebuah program perlu diperkemas dan diperketatkan supaya setiap acara atau program itu selari dengan nilai budaya, agama dan identiti negara,” ujarnya.

Terdahulu, penganjuran Program Rain Rave Water Music Festival 2026 di Kuala Lumpur mencetuskan polemik apabila ia didakwa berpotensi menjejaskan nilai dan sensitiviti masyarakat tempatan.

JAWI dalam kenyataan semalam membantah penganjuran program berkenaan yang dilihat boleh membawa kepada kemudaratan akhlak dan keruntuhan nilai masyarakat.

Selain itu, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menerusi Bayan Linnas Siri Ke-351 menegaskan bahawa Islam tidak menolak hiburan secara mutlak, namun ia perlu tertakluk kepada garis panduan syarak serta tidak mengandungi unsur maksiat.

Related Posts

‘Suci sangatkah air mereka?’ – Shaiful Hazizy

ALOR SETAR — Polemik berkaitan penganjuran festival berunsur air kembali mencetuskan perdebatan apabila kenyataan Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah mengenai Festival Muzik Air mendapat kritikan balas daripada…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kesesakan Pulai: Johor laksana pelan menyeluruh, gembleng tindakan segera hingga jangka panjang

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor mengambil langkah drastik bagi menangani kesesakan trafik yang semakin kritikal di kawasan Pulai, dengan pelaksanaan pelan komprehensif melibatkan tindakan segera, sederhana dan jangka panjang.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

‘Suci sangatkah air mereka?’ – Shaiful Hazizy

‘Suci sangatkah air mereka?’ – Shaiful Hazizy

RM710 juta diperuntuk di bawah PACE, fokus daya tahan tenaga kerja

RM710 juta diperuntuk di bawah PACE, fokus daya tahan tenaga kerja

PMX akan hubungi pemimpin luar, usaha bebaskan 10 rakyat Malaysia ditahan Zionis

PMX akan hubungi pemimpin luar, usaha bebaskan 10 rakyat Malaysia ditahan Zionis

Rujuk prinsip nilai, adab dalam penganjuran acara berunsur hiburan

Rujuk prinsip nilai, adab dalam penganjuran acara berunsur hiburan

Nasib aktivis GSF 2.0 belum diketahui – SNCC

Nasib aktivis GSF 2.0 belum diketahui – SNCC

Kesesakan Pulai: Johor laksana pelan menyeluruh, gembleng tindakan segera hingga jangka panjang

Kesesakan Pulai: Johor laksana pelan menyeluruh, gembleng tindakan segera hingga jangka panjang