BANDAR BARU BANGI – Sumud Nusantara Command Center (SNCC) memaklumkan sehingga kini masih tiada sebarang pengesahan rasmi diterima berhubung nasib rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF 2.0) selepas didakwa diculik oleh tentera Israel.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, tempoh 38 jam yang berlalu tanpa maklumat rasmi menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan semua aktivis terbabit.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia serta semua pihak berkepentingan agar terus berdoa dan memperhebat usaha memberi tekanan bagi memastikan keselamatan serta pembebasan kesemua 175 aktivis misi berkenaan.
“Sehingga 38 jam ini, kita masih belum menerima maklumat rasmi namun saya memohon untuk kita semua terus berdoa.
“Saya juga memohon semua pihak untuk terus mendesak dan mengharapkan Parlimen Malaysia sama ada daripada blok kerajaan atau pembangkang untuk sama-sama bersatu hati dan memberi tekanan kepada pihak rejim menggunakan apa saja saluran yang ada.
“Ini kerana mereka ini tidak melakukan kesalahan kerana berada di perairan antarabangsa,” katanya dalam sidang media khas di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, SNCC sebelum ini melaporkan kehadiran puluhan dron di sekitar kawasan operasi GSF 2.0 yang dipercayai menjalankan pemantauan serta mengganggu sistem komunikasi pada awal pagi semalam.
Susulan kejadian itu, seramai 10 rakyat Malaysia yang berada di atas enam kapal flotilla dilaporkan terputus hubungan dengan pihak darat.
Insiden yang berlaku antara jam 1 pagi hingga 11 pagi waktu Malaysia itu turut menyaksikan pihak tentera Israel melepaskan tembakan amaran selain melakukan gangguan frekuensi radio terhadap aktivis kemanusiaan tidak bersenjata di kedudukan 656 batu nautika dari Pantai Gaza.
Sementara itu, Sani Araby berkata, pihaknya turut menerima maklumat awal yang mendakwa kesemua 175 aktivis GSF 2.0 berada di Pelabuhan Larapetra, Greece, pada jam 12 tengah hari waktu Malaysia hari ini, namun perkara itu masih belum dapat disahkan.
“Kita meneliti maklumat itu tetapi status ketika ini belum disahkan melalui saluran rasmi dan juga lapangan kita di pelabuhan itu,” katanya.
Beliau berkata, SNCC kini dalam keadaan siap siaga dan telah mengambil langkah awal sekiranya semua aktivis terbabit dibebaskan di Greece.
“Kita meneliti beberapa maklumat yang diterima malah sudah bersedia di pelabuhan. Kami juga dimaklumkan oleh Wisma Putra, pihak konsul dan wakil juga sedang bersedia di pelabuhan sekiranya keseluruhan peserta dibebaskan di Greece.
“Namun semua perkara (lain) boleh berlaku,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan tindakan menculik aktivis kemanusiaan di perairan antarabangsa sebagai satu tindakan terdesak oleh Israel.
“Jika ada yang menganggap ini adalah pengulangan skrip, kita merasakan ini adalah pengulangan paten kejahatan Israel dan cumanya kali ini mereka terlalu terdesak. Andaian kita adalah mereka tidak mahu kumpulan peserta yang ditahan ini bergabung dengan kumpulan yang lebih besar,” katanya.



