
JERUSALEM – Rejim Israel bertindak melepaskan tembakan ke arah kenderaan yang menghampiri kawasan larangan di selatan Lubnan, tidak lama selepas perjanjian gencatan senjata dengan Hizbullah berkuat kuasa, menurut kenyataan tentera.
Menurut kenyataan tentera rejim, pasukannya telah melepaskan tembakan amaran ke arah kenderaan yang berada di kawasan larangan (selatan Lubnan) bagi menghalang pergerakan warga Lubnan tanpa menyatakan lokasi sebenar insiden tersebut, lapor Anadolu.
“Angkatan Udara Israel tetap bersedia untuk bertindak di seluruh wilayah Lubnan,” menurut kenyataan itu.
Agensi berita negara Lubnan, NNA, melaporkan bahawa pasukan Israel telah mengebom bandar Kfarkela dan Khiyam tidak lama selepas gencatan senjata berkuat kuasa.
Menurut laporan itu, tiga kereta kebal Israel turut melintasi pintu sempadan Fatima menuju kawasan Tal Nahas di selatan Lubnan.
Perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Lubnan berkuat kuasa beberapa jam selepas Presiden AS Joe Biden mengumumkan bahawa satu cadangan untuk menamatkan konflik telah dicapai, dengan harapan ia dapat menghentikan serangan udara Israel ke atas bandar dan bandar kecil di Lubnan serta menamatkan pertempuran rentas sempadan yang telah berlarutan selama setahun.
Sejak Oktober lalu, lebih 3,800 orang telah terbunuh akibat serangan Israel di Lubnan, manakala lebih 1 juta orang telah kehilangan tempat tinggal, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan.







