
NAIB Presiden Pertama Iran, Mohammad Reza Aref, mengeluarkan amaran keras pada awal pagi Isnin bahawa keselamatan di Selat Hormuz tidak dapat dijamin sekiranya eksport minyak negara itu terus disekat.
Menerusi hantaran di platform X, beliau menegaskan bahawa tiada pihak yang boleh mengharapkan jaminan keselamatan secara percuma di laluan strategik berkenaan jika pada masa yang sama mengenakan sekatan terhadap perdagangan Iran.
“Tiada sesiapa boleh menyekat eksport minyak Iran sambil mengharapkan keselamatan percuma untuk pihak lain.
“Keselamatan di Selat Hormuz bukan sesuatu yang percuma,” katanya, lapor Anadolu.
Aref berkata, dunia kini berdepan dengan dua pilihan sama ada mewujudkan “pasaran minyak yang bebas untuk semua” atau berdepan dengan “kos yang signifikan untuk setiap pihak.”
Beliau turut menambah bahawa kestabilan harga bahan api global amat bergantung kepada “penamatan tekanan ekonomi dan ketenteraan yang terjamin serta berkekalan terhadap Iran serta sekutunya.”
Kenyataan itu menyusul selepas ketegangan memuncak pada 28 Februari lalu apabila Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran, yang kemudiannya dibalas dengan serangan oleh Tehran terhadap Israel dan negara serantau yang menempatkan aset AS.
Operasi ketenteraan AS-Israel itu dilaporkan telah mengorbankan lebih 3,300 nyawa sebelum Washington dan Tehran mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu pada 8 April lalu melalui pengantaraan Pakistan.
Kedua-dua pihak kini sedang bersiap sedia untuk menghadapi pusingan kedua rundingan di Islamabad yang dijadualkan pada Selasa ini, selepas sesi perbincangan pada 11 dan 12 April lalu berakhir tanpa sebarang kata sepakat.
Situasi tersebut menjadi semakin rumit apabila AS bertindak mengenakan sekatan maritim (naval blockade) terhadap Iran bermula 13 April lalu.







