
KOTA KINABALU – Prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, pada Jumaat mendengar keterangan Ketua Warden Asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Azhari Abd Sagap, berhubung mesej yang diterimanya daripada ibu seorang pelajar lain, dikenali sebagai Pelajar A, selepas insiden pada 16 Julai lalu.
Azhari, 31, yang merupakan saksi kelapan, berkata, ibu Pelajar A pernah menghubunginya menerusi aplikasi WhatsApp pada 26 Julai lalu, mendakwa anaknya diganggu oleh ibu arwah Zara.
Dalam penjelasannya kepada mahkamah, Azhari membaca perbualan melalui WhatsApp bersama ibu Pelajar A yang berbunyi:
“Salam cikgu… eh ustaz, nak tanya, adakah mama Zara ganggu ustaz?” tanya ibu Pelajar A.
“Waalaikumsalam puan. Tidak, saya tidak pernah berhubung langsung dengan ibunya. Kenapa ya?” jawab Azhari.
Ibu Pelajar A kemudian memaklumkan: “Ibu Zara tengah ganggu Pelajar A ini. Dia WhatsApp macam-macam, semua mesej itu saya sudah ‘screenshot’ dan serahkan kepada IO. Dari semalam lagi dia sudah kacau.”
Azhari menjawab: “Tidak mengapa puan. Apa-apa hal, maklumkan sahaja kepada IO.”
Menurut Azhari, ibu Pelajar A turut menyatakan: “Ya, itu lah. Saya pun trauma. Ustaz, saya mahu tambah cuti Pelajar A lagi. Mula dia kacau Pelajar A, nanti mesti ada berita baharu yang viral keluar esok. Dia petik nama Pelajar A, dia siap.”
“Ok puan, buat surat kepada PK HEM untuk makluman cuti,” balas Azhari.
Ibu Pelajar A juga menambah: “Bermacam fitnah dia pada Pelajar A.”
Azhari kemudiannya dengan menjawab: “Baik, terima kasih puan.”
Menurut Azhari, ibu Pelajar A turut mendakwa anaknya trauma dan menghantar sijil cuti sakit kepadanya.
“Pada 28 Julai, ibu Pelajar A menghantar gambar sijil cuti sakit dari Klinik Kesihatan Labuan, bermula 28 Julai hingga 4 Ogos.
“Kemudian pada 7 Ogos, saya terima lagi sijil cuti sakit sambungan dari 8 hingga 18 Ogos. Saya hanya ambil maklum,” jelasnya ketika prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Katanya lagi, pada 11 Ogos, ibu Pelajar A sekali lagi mesej beliau untuk memaklumkan hasrat mengambil semua barang anaknya di asrama, selain mengucapkan terima kasih kerana menjaga anaknya sepanjang bersekolah di situ.
Azhari menjawab demikian kepada soalan peguam Joan Goh, yang mewakili salah seorang remaja dalam kes tersebut.
Dalam prosiding terdahulu, Azhari turut memberitahu bahawa salah seorang pelajar yang dituduh dalam kes tersebut telah berpindah ke sekolah lain.
Namun, beliau tidak mengetahui alasan sebenar perpindahan itu kerana itu di luar bidang tugasnya.
Inkues kematian Zara akan bersambung Isnin depan dengan keterangan saksi daripada kalangan pelajar.





