
KOTA KINABALU – Cadangan agar Sabah dipilih sebagai tuan rumah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 disifatkan sebagai langkah tepat bagi memperkukuh semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pengiktirafan terhadap sumbangan pengamal media di wilayah ini.
Wartawan veteran Sabah, Gundohing Joseph Bingkasan berkata, walaupun HAWANA telah lima kali diraikan iaitu empat kali di Semenanjung dan sekali di Sarawak manakala Sabah masih belum pernah dipilih menjadi lokasi rasmi sambutan nasional itu.
“HAWANA seharusnya mencerminkan semangat kesamarataan wilayah seperti yang dijamin dalam MA63.
“Penganjuran di Sabah adalah simbol penting kepada semangat Malaysia MADANI dan pengiktirafan terhadap peranan media di negeri ini,” katanya ketika menyuarakan sokongan penuh agar Sambutan HAWANA 2026 diadakan di negeri ini.
Menurut beliau, sokongan padu kerajaan negeri juga penting bagi menjayakan acara tersebut sekiranya Sabah dipilih menjadi tuan rumah sambutan HAWANA 2026.
“Kita berharap pengamal media di Sabah, termasuk pelajar jurusan komunikasi dari universiti tempatan seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS), dapat terlibat secara langsung kerana ia akan memberikan pendedahan berguna kepada mereka yang ingin menceburi bidang kewartawanan,” katanya.
Pada 14 Jun, Sambutan HAWANA 2025 akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang masuk edisi kelima sejak diperkenalkan pada 2018.
HAWANA merupakan acara tahunan yang menghimpunkan pengamal media seluruh negara sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam pembangunan negara.
Selain meraikan peranan wartawan, HAWANA juga menjadi platform untuk memperkukuh jaringan industri media dan memperkasakan suara media di negara ini.





