Hamzah dipanggil Lembaga Disiplin Bersatu buat kali kedua Khamis ini

PUTRAJAYA – Lembaga Displin Bersatu akan memanggil Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) dan serangan terhadap Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menerusi surat pemberitahuan Notis Panggilan kali kedua, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang diminta untuk memberi keterangan pada 12 tengah hari, Khamis ini di Ibu Pejabat Bersatu.

Surat yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Mohd Radzi Manan bertarikh 6 Februari itu memaklumkan terdapat empat aduan disiplin terhadap Ahli Parlimen Larut itu, bertarikh 30 September 2025 serta 5 Februari.

Menurut notis pemberitahuan itu, Ahli Jawatankuasa Lembaga Disiplin Parti Bersatu menetapkan satu sesi perjumpaan dengan Hamzah bagi memberi keterangan berhubung aduan yang diterima.

Hamzah juga didakwa gagal menghalang beberapa pemimpin dan ahli parti daripada mengeluarkan kenyataan menyerang Muhyiddin serta mencemarkan imej Bersatu.

Aduan lain termasuk gagal menghalang rundingan dengan presiden parti komponen Perikatan Nasional (PN) tanpa mandat parti termasuk perbincangan berkaitan Majlis Eksekutif PN yang telah ditolak oleh Biro Politik dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Hamzah juga didakwa mencemarkan imej Muhyiddin kerana membuat kenyataan tidak dijemput ke pertemuan membabitkan presiden parti komponen PN pada 28 Januari lalu.

Sebelum ini, dua pemimpin Bersatu Selangor, Rafiq Abdullah dan Datuk Harisson Hassan menggesa Lembaga Disiplin menyiasat Hamzah dan mengambil tindakan ke atasnya termasuk dipecat jika terbukti bersalah menjadi punca krisis dalaman parti.

Rafiq turut mendesak Hamzah berundur namun penganalisis politik berpandangan Timbalan Pengerusi PN itu tidak akan melayan tuntutan sedemikian sebaliknya menunggu tindakan Bersatu.

Hamzah sebelum ini menafikan hubungannya dengan Muhyiddin tegang termasuk menolak dakwaan wujud dua kem dalam parti itu selain mendakwa cerita itu sengaja diadakan bagi mewujudkan perpecahan dalam Bersatu dan PN.

Namun, beliau terus dikaitkan dengan dakwaan wujud usaha menyokong perpecahan dalaman parti, yang dipercayai membawa kepada beberapa tindakan disiplin.

Ia termasuk pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah serta penggantungan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Related Posts

Peruntukan pembangunan Kelantan dinaikkan kepada RM8 bilion – PM

KOTA BHARU – Kerajaan Persekutuan menambah peruntukan pembangunan untuk Kelantan daripada RM3 bilion kepada RM8 bilion sebagai bukti keprihatinan terhadap pembangunan negeri itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Potongan gaji menteri bergantung keputusan PM – Fahmi

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri tidak menolak kemungkinan melaksanakan pemotongan gaji menteri sekiranya keadaan ekonomi negara bertambah meruncing susulan konflik di Asia Barat. Beliau…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Peruntukan pembangunan Kelantan dinaikkan kepada RM8 bilion – PM

Peruntukan pembangunan Kelantan dinaikkan kepada RM8 bilion – PM

Potongan gaji menteri bergantung keputusan PM – Fahmi

Potongan gaji menteri bergantung keputusan PM – Fahmi

Kapal Malaysia antara terawal lepasi Selat Hormuz, harga minyak turut dipengaruhi kos insurans

Kapal Malaysia antara terawal lepasi Selat Hormuz, harga minyak turut dipengaruhi kos insurans

15 peratus terjejas harga diesel, kerajaan cari jalan ringankan beban rakyat – PM

15 peratus terjejas harga diesel, kerajaan cari jalan ringankan beban rakyat – PM

PM ucap tahniah jemaah haji, doakan urusan dipermudah

PM ucap tahniah jemaah haji, doakan urusan dipermudah

KSN santuni pelajar, sampaikan sumbangan di Bachok

KSN santuni pelajar, sampaikan sumbangan di Bachok