Hamas sedia bebaskan tebusan jika Israel akur

ANKARA – Kumpulan Pejuang Palestin, Hamas bersedia untuk meneruskan semula pembebasan tebusan seterusnya pada Sabtu sekiranya Israel mematuhi syarat perjanjian gencatan senjata di Gaza.

“Pihak (penjajahan) Israel telah beberapa kali melanggar perjanjian, sama ada dengan menghalang kepulangan penduduk yang dipindahkan atau menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan.

“Jika Israel tidak mematuhi syarat perjanjian, proses pertukaran tahanan tidak akan berlaku,” kata jurucakap Hamas, Abdul Latif al-Qanoua, kepada Anadolu.

Hamas berkata pada Khamis bahawa pihaknya akan membebaskan tawanan Israel seperti yang dirancang di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza.

Dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkata langkah tersebut diambil selepas rundingan dengan perantara Mesir dan Qatar, yang berjanji untuk berusaha menghapuskan halangan dan menutup jurang.

“Hamas akan terus melaksanakan perjanjian Gaza mengikut apa yang telah dipersetujui, termasuk pertukaran tahanan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Kumpulan Palestin itu berkata pada Isnin bahawa pihaknya akan menangguhkan pembebasan tebusan seterusnya sebagai tindak balas terhadap pelanggaran perjanjian gencatan senjata oleh Israel.

Pihak berkuasa tempatan Palestin telah menyenaraikan beberapa pelanggaran perjanjian oleh Israel, termasuk tindakan menembak orang awam dan menghalang akses kepada bahan bantuan, khemah dan karavan untuk penduduk Gaza yang dipindahkan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada Selasa mengancam untuk menamatkan perjanjian gencatan senjata Gaza jika Hamas gagal membebaskan tawanan sebelum tengah hari Sabtu.

Qanoua berkata, terdapat tanda-tanda positif mengenai komitmen Israel terhadap perjanjian gencatan senjata.

“Hamas komited terhadap apa yang telah dipersetujui tetapi tidak akan menerima sebarang pelanggaran oleh Israel yang boleh mengganggu proses pertukaran,” tambahnya.

Hamas berkata, satu delegasi kumpulan itu yang diketuai oleh pemimpinnya di Gaza, Khalil al-Hayya, telah mengadakan perbincangan dengan perantara Mesir dan Qatar untuk membincangkan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata.

“Delegasi kami memberi tumpuan dalam mesyuarat dan komunikasi mengenai keperluan untuk mematuhi semua syarat perjanjian, terutamanya berkaitan penyediaan tempat tinggal bagi rakyat kami dan membawa masuk karavan, khemah, peralatan berat, bekalan perubatan, bahan api, serta aliran berterusan bantuan seperti yang ditetapkan dalam perjanjian.

“Perbincangan berlangsung dalam suasana positif, dan perantara Mesir serta Qatar menegaskan bahawa tindakan lanjut diperlukan untuk menghapuskan halangan dan menutup jurang,” katanya.

Terdahulu, saluran berita Mesir, Al-Qahera News, memetik seorang pegawai Mesir yang tidak dinamakan, melaporkan bahawa usaha pengantaraan oleh Kaherah dan Doha berjaya mengatasi halangan yang menghalang pelaksanaan perjanjian gencatan senjata Gaza, dengan kedua-dua pihak, Hamas dan Israel komited untuk melengkapkan perjanjian itu.”

Bagaimanapun, pejabat Netanyahu menafikan sebarang persefahaman dengan Hamas di Gaza.

“Tiada sebarang persefahaman yang dicapai setakat ini mengenai penyelesaian krisis dengan Hamas, dan laporan mengenai perkara ini adalah berita palsu,” kata kenyataan itu.

Jurucakap Netanyahu, Omer Dostri, juga menafikan sebarang perjanjian untuk membenarkan rumah mudah alih atau karavan memasuki Gaza.

“Seperti yang telah kami jelaskan beberapa kali, karavan (rumah mudah alih) dan peralatan berat tidak akan dibenarkan memasuki Semenanjung Gaza, dan tiada penyelarasan mengenai perkara ini.

“Menurut perjanjian, tiada barangan akan dibenarkan masuk ke Gaza melalui lintasan Rafah,” katanya di laman X.

Perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan telah berkuat kuasa di Gaza sejak 19 Januari, menghentikan peperangan Israel yang telah membunuh lebih daripada 48,200 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta menyebabkan wilayah Palestin itu musnah.

Setakat ini, 16 warga Israel dan lima pekerja Thailand telah dibebaskan oleh Hamas sebagai pertukaran bagi ratusan tahanan Palestin di penjara Israel di bawah fasa pertama perjanjian itu.

Related Posts

Trump dakwa berjaya tamatkan 8 perang

PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa beliau menamatkan lapan perang dengan menggunakan langkah perdagangan dan tarif sebagai tekanan, lapor Anadolu Ajansi. “Saya telah menamatkan lapan perang, sebahagian besarnya melalui perdagangan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Lebih 20 maut, kelab malam terbakar

GOA – Seramai 20 pekerja dan lima pelancong maut selepas kelab malam Birch By Romeo Lane di sini musnah terbakar awal pagi semalam. Menurut pihak berkuasa, kejadian berlaku begitu pantas…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pahang sedia RM2 juta anjur liga bola sepak daerah, negeri

Pahang sedia RM2 juta anjur liga bola sepak daerah, negeri

Kerajaan Perlis rakam penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan

Kerajaan Perlis rakam penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan

Hubungan Sabah–Persekutuan pasca-PRN17

Hubungan Sabah–Persekutuan pasca-PRN17

Tasik Chini perlu dihidupkan kembali, kata ADUN Chini

Tasik Chini perlu dihidupkan kembali, kata ADUN Chini

Kesesakan Pelabuhan Sepanggar sedang ditangani – Ewon

  • By Ynom
  • December 9, 2025
Kesesakan Pelabuhan Sepanggar sedang ditangani – Ewon

Dua lelaki warga Thai cuba seludup diesel dicekup di Bukit Kayu Hitam

Dua lelaki warga Thai cuba seludup diesel dicekup di Bukit Kayu Hitam