
KOTA KINABALU – Dakwaan bahawa keputusan meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dibuat secara sebelah pihak disangkal Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor.
Hajiji menjelaskan keputusan tersebut telah dicapai menerusi perbincangan bersama parti-parti komponen dalam gabungan itu.
“Tidak, kami sudah buat perbincangan dalam GRS bersama presiden parti.
“Jadi apa orang cakap jangan terlampau kamu dengar.
“Terlampau berpolitik di Sabah ini, terlampau banyak,” ujarnya ketika ditemui media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan Petco Trading Labuan Company Ltd, serta Memorandum Perjanjian (MoA) antara DBKK dan AORB di Pacific Sutera Harbour, pada Rabu.

Dalam perkembangan lain, Hajiji yang juga Ketua Menteri berkata Sabah kini berada di landasan untuk menjadi peneraju utama sektor Blue Economy negara, susulan arahan Perdana Menteri kepada Kerajaan Negeri untuk menerajui inisiatif tersebut.
Katanya, dalam mesyuarat bersama Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri baru-baru ini, taklimat mengenai pembangunan Blue Economy telah disampaikan, disusuli dengan penganjuran persidangan antarabangsa dan termeterainya perjanjian pertama antara Sabah dan Syarikat Alpha Ocean Resources Berhad (AORB).
“Sabah berada di landasan tepat untuk menjadi hab perikanan laut dalam terunggul di rantau ini.
“Kelebihan strategik seperti kedudukan di laluan migrasi tuna antarabangsa, pelabuhan semula jadi yang terlindung, dan kedekatan dengan negara pengeluar utama menjadikan Sabah berpotensi besar dalam industri ini.
“Sabah juga mempunyai semua prasyarat seperti lokasi, sumber, infrastruktur dan dasar sokongan untuk menjadi pusat pendaratan, pemprosesan dan pengeksportan hasil laut bertaraf antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, AORB akan melabur RM360 juta bagi membina pelabuhan tuna bertaraf Kesatuan Eropah (EU) di Kota Kinabalu, yang dijangka siap dalam tempoh 18 bulan serta bakal mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan dalam industri laut dalam.
Tambah beliau, manfaat ekonomi projek ini bukan sahaja tertumpu kepada hasil laut, malah turut melibatkan sektor sokongan seperti bekalan ais, perkhidmatan bunkering, F&B dan teknikal.
Katanya, komuniti nelayan tempatan akan dilibatkan secara inklusif dalam komponen hiliran bernilai tambah.
“Kita akan terus menekankan tadbir urus Environment, Social & Governance (ESG) yang mampan untuk menjaga alam sekitar, masyarakat dan urus tadbir demi kelangsungan ekosistem marin serta kesejahteraan ekonomi rakyat,” katanya.






