PERSEKUTUAN Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menganggap kesalahan pemalsuan dokumen yang didakwa dilakukan membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya perlu diheret ke muka pengadilan.
Menerusi alasan bertulis penuh setebal 64 muka surat yang dikeluarkan jawatankuasa rayuan badan induk bola sepak dunia itu awal pagi tadi, FIFA mencadangkan perkara itu disiasat pihak berkuasa lima negara terbabit.
“Memandangkan sifat dan tahap serius kesalahan ini terutamanya pemalsuan dokumen rasmi, jawatankuasa mengarahkan sekretariat mengambil langkah sewajarnya bagi memaklumkan pihak berkuasa jenayah yang kompeten di Brazil, Argentina, Belanda, Sepanyol dan Malaysia.
“Pemalsuan adalah satu kesalahan jenayah di bidang kuasa berkenaan dan penting supaya pihak berkuasa dimaklumkan supaya siasatan serta prosiding jenayah yang sesuai dijalankan,” kata FIFA dalam alasan bertulis itu.
Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan keputusan jawatankuasa tatatertibnya yang mendapati FAM dan tujuh pemain negara melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) kerana memalsukan dokumen.
Susulan keputusan berkenaan, FAM diarahkan membayar denda sebanyak 350,000 Swiss franc (kira-kira RM1.8 juta) kepada FIFA.
Sementara tujuh pemain – Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel – dikenakan denda 2,000 Swiss franc (lebih kurang RM10,000) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.





