
GAZA – Pejabat Media Gaza melaporkan, jumlah trak yang memasuki Gaza semasa fasa pertama perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas hanya mewakili 75 peratus daripada jumlah yang dijangkakan.
Ketua pejabat itu, Salama Maarouf berkata, Gaza memerlukan 200,000 khemah, tetapi jumlah yang dihantar jauh lebih rendah daripada separuh jumlah tersebut.
“Selain itu, hanya 15 rumah mudah alih telah memasuki wilayah itu, jauh daripada 60,000 unit yang diperlukan untuk menampung keluarga yang dipindahkan.
“Kekurangan itu bukan sahaja melibatkan khemah dan tempat perlindungan sementara. Gaza juga menghadapi kekurangan kritikal dalam barangan lain yang berkaitan dengan perlindungan, termasuk penjana elektrik, bateri, sistem tenaga solar dan jentera berat,” katanya.
Salama mengesahkan bahawa Gaza memerlukan 500 kenderaan untuk menyokong usaha bantuan dan pembinaan semula, tetapi hanya sembilan jentolak yang dibenarkan memasuki wilayah itu sebagai sebahagian daripada fasa pertama perjanjian tersebut.
Israel menghentikan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza pada Ahad, beberapa jam selepas fasa pertama perjanjian gencatan senjata Gaza tamat.
Perjanjian itu telah menghentikan perang genosid Israel ke atas Gaza, yang telah meragut lebih 48,380 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta menghancurkan wilayah tersebut.
Terdahulu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menolak untuk beralih ke fasa kedua gencatan senjata Gaza dan perjanjian pertukaran tahanan, sambil mengakui menggunakan taktik kebuluran terhadap penduduk Gaza bagi memberi tekanan kepada Kumpulan Pejuang Palestin, Hamas.
Susulan itu, awal pagi Ahad, Israel telah menghentikan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza, hanya beberapa jam selepas berakhirnya fasa pertama perjanjian gencatan senjata Gaza.
Sementara itu, dalam mesyuarat kabinet mingguan, Israel juga bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata sementara sempena bulan Ramadan dan Perayaan Passover Yahudi sepertimana yang dicadangkan oleh wakil Presiden Donald Trump, Steve Witkoff.
Witkoff mencadangkan pelan itu setelah mendapati tiada keperluan segera untuk merapatkan jurang antara Israel dan Hamas dalam fasa kedua perjanjian Gaza.
Bertentangan dengan pendirian Netanyahu, Menteri Dalam Negeri Israel, Moshe Arbel menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan fasa kedua perjanjian pertukaran tahanan dan gencatan senjata.
“Saya menyokong fasa kedua, tiada perintah yang lebih besar daripada menebus tahanan,” kata Arbel seperti dipetik oleh akhbar Yedioth Ahronoth dalam satu persidangan di Eilat, selatan Israel.
Selain itu, Netanyahu secara terbuka mengakui menggunakan kebuluran rakyat sebagai alat untuk menekan Hamas.
“Jika Hamas percaya ia boleh melanjutkan gencatan senjata atau meraih manfaat daripada syarat fasa pertama tanpa kita mendapatkan semula tebusan kita, ia sangat tersilap,” katanya.
Netanyahu mendakwa berdasarkan risikan Israel, Hamas kini menahan 59 tebusan Israel, dengan sekurang-kurangnya 24 lagi dipercayai masih hidup manakala 35 yang lain telah meninggal dunia.
“Kami tidak akan meninggalkan mana-mana mereka, dan kami bertekad untuk membawa mereka semua pulang,” katanya.
Perdana menteri Israel itu berkata di bawah cadangan Witkoff, separuh daripada tebusan akan dibebaskan pada hari pertama pelan itu, ika perjanjian dicapai, baki tebusan akan dibebaskan pada penghujung proses.
“Di bawah perjanjian asal, Israel boleh menyambung semula peperangan selepas 42 hari jika rundingan tidak berkesan. Klausa ini disokong melalui surat tambahan dari pentadbiran AS sebelum ini dan kini telah mendapat sokongan daripada pentadbiran Trump,” dakwa Netanyahu.
Netanyahu menuduh Hamas menolak cadangan itu, dengan mendakwa jika Hamas mengubah pendiriannya, Israel akan segera memasuki rundingan untuk melaksanakan pelan tersebut.
“Jika Hamas terus berkeras dan enggan membebaskan tebusan kita, akan ada akibat tambahan, yang saya tidak akan perincikan di sini,” katanya memberi amaran.
Netanyahu sebelum ini berusaha untuk melanjutkan fasa awal pertukaran tebusan bagi mendapatkan pembebasan sebanyak mungkin tahanan Israel tanpa memberi sebarang balasan atau memenuhi kewajipan ketenteraan serta kemanusiaan perjanjian tersebut.
Hamas menolak untuk meneruskan rundingan dalam keadaan ini, menegaskan bahawa Israel harus mematuhi syarat gencatan senjata dan segera memulakan rundingan untuk fasa kedua, yang merangkumi pengunduran penuh Israel dari Gaza dan penghentian perang secara penuh.









