WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengisytiharkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi Amerika Syarikat (AS), sebagai langkah membawa perpaduan kepada negara yang dicirikan oleh imigrasi dari seluruh dunia.
Rumah Putih menerbitkan perintah eksekutif ditandatangani Trump semalam, menyatakan bahawa sudah tiba masanya Bahasa Inggeris diiktiraf sebagai bahasa rasmi negara itu.
“Bahasa kebangsaan yang diiktiraf secara rasmi adalah teras kepada masyarakat yang bersatu dan kukuh dan AS menjadi lebih kuat dengan warganya yang dapat bertukar-tukar idea dalam satu bahasa yang dikongsi bersama,” menurut dokumen berkenaan.
Perintah itu turut membatalkan mandat presiden yang diperkenalkan pada era Bill Clinton pada 1990-an, yang mewajibkan agensi persekutuan serta penerima dana kerajaan persekutuan menyediakan bantuan kepada individu yang tidak fasih berbahasa Inggeris.
Bagaimanapun, berdasarkan dokumen itu, agensi kerajaan masih mempunyai fleksibiliti dalam menentukan tahap bantuan yang boleh diberikan dalam bahasa selain Inggeris.
“Tiada apa dalam perintah itu yang mengarahkan perubahan dalam perkhidmatan disediakan mana-mana agensi,” katanya.
Ia turut menyatakan bahawa ketua agensi kerajaan diberi kuasa menentukan keperluan bagi memenuhi misi masing-masing serta memastikan perkhidmatan kerajaan disampaikan dengan cekap kepada rakyat AS.








