PUTRAJAYA – Infrastruktur digital tidak lagi sekadar lapisan sokongan, sebaliknya menjadi tulang belakang utama dalam menentukan kecekapan negara serta daya saing Malaysia di peringkat global.
Berucap di Majlis Memorandum Persefahaman MyDigital ID dengan tema Powering Trusted Access Across Malaysia’s Digital Ecosystem, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dunia kini berada dalam fasa perubahan yang tidak lagi berperingkat, namun berlaku secara berterusan, pantas dan di luar jangka.
Menurutnya, perkembangan itu mengubah cara hidup masyarakat, cara kerja dan paling utama cara meletakkan kepercayaan dalam kehidupan seharian.
“Kita hidup dalam satu masa di mana perubahan tidak lagi berperingkat, ianya berterusan, pantas dan di luar jangkaan,” katanya.
Ujar beliau, teknologi kini bukan lagi sekadar alat sokongan harian, malah menjadi perantara utama membolehkan masyarakat berfungsi, bermula dari transaksi kewangan hingga ke perkhidmatan awam, pendidikan sehingga perniagaan.
“Perkembangan ini semakin rumit. Kepercayaan yang selama ini dibina melalui interaksi fizikal kini diuji dalam ruang digital tanpa sempadan, bergerak pantas dan pendedahan mendadak kepada risiko,” jelasnya.
Situasi itu, katanya, mendorong kerajaan bertindak pantas memastikan setiap kemajuan digital memberi manfaat dalam masa yang sama melindungi rakyat.
“Ekosistem digital yang terbuka meningkatkan risiko seperti penipuan dalam talian, kecurian identiti dan salah guna data.
“Ia memberi kesan langsung kepada segenap masyarakat seperti kerugian wang simpanan, gangguan perniagaan serta institusi terpaksa mendepani ancaman yang berleluasa.
“Persoalan utama ialah sama ada rakyat boleh mempercayai sistem digital. Tanpa kepercayaan, kemajuan digital akan terjejas,” tambahnya.
Justeru keselamatan dan pengesahan identiti mesti menjadi tanggungjawab nasional.
Sistem juga perlu dibina berasaskan keutuhan tadbir urus, kebertanggungjawaban jelas dan penuh integriti.
Ahmad Zahid menegaskan, pengukuhan ekosistem digital negara termasuk tanggungjawab terhadap keselamatan dan pengesahan indentiti mesti dipikul segenap pihak.
“MyDigital ID menjadi asas penting dalam memastikan bagaimana rakyat berinteraksi dengan pantas dan selamat dalam dunia digital.
“Apa yang dahulu dianggap kemudahan kini menjadi satu keperluan. Rakyat tidak lagi bertanya apakah ada perkhidmatan digital, tetapi mereka mengharapkan perkhidmatan digital itu pantas, lancar dan mudah diakses,” jelasnya.






