DALAM keghairahan mengangkat isu rasuah sempena Himpunan Pekerja 1 Mei, sebahagian tuntutan yang dikemukakan dilihat gagal mengambil kira perkembangan semasa, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kerelevanan persepsi yang dimainkan.
Antara yang paling ketara ialah desakan supaya Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki digantung dan disiasat sedangkan hakikatnya isu berkenaan bukan dibiarkan sepi.
Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun mengambil langkah institusi dengan menubuhkan jawatankuasa khas, diketuai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar bagi meneliti dakwaan yang timbul.
Laporan dari media antarabangsa, Reuters turut mengesahkan bahawa sebahagian dakwaan terhadap Azam telah pun berada dalam siasatan pihak berkuasa, walaupun hasilnya belum didedahkan kerana masih dalam proses penelitian lanjut.
Sehubungan itu, desakan berulang untuk penggantungan segera dilihat lebih bersifat tekanan persepsi berbanding keperluan sebenar, apatah lagi siasatan rasmi sedang berjalan. Dalam sistem pentadbiran yang matang, tindakan disiplin lazimnya bergantung kepada hasil siasatan telus, bukan semata mata melalui desakan jalanan.
Tambahan pula, pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu, Datuk Seri Abdul Halim Aman yang berkuat kuasa pada 13 Mei memperlihatkan kesinambungan usaha kerajaan memperkukuh kredibiliti institusi berkenaan tanpa menjejaskan proses siasatan terhadap Azam. Dalam erti kata lain, pembaharuan dilaksanakan, siasatan diteruskan.

Justeru, mengulangi tuntutan lama seolah-olah tiada tindakan diambil bukan sahaja tidak tepat, malah berisiko mengelirukan persepsi awam.
Naratif sebegini, jika tidak diperbetulkan, boleh menjejaskan kepercayaan terhadap mekanisme semak dan imbang yang sedia ada.
Cadangan lain seperti penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan ‘mafia korporat’ juga menuntut asas yang lebih kukuh.
Tanpa perincian dan bukti jelas, tuntutan sedemikian mudah dilihat sebagai retorik yang berpotensi mencetuskan kebimbangan tidak berasas dalam kalangan pelabur dan pemain industri.
Begitu juga cadangan supaya Ketua Pesuruhjaya SPRM dilantik serta bertanggungjawab kepada Parlimen. Ia bukan idea baharu, namun memerlukan penelitian mendalam melibatkan pindaan undang-undang serta keseimbangan kuasa antara institusi negara, sesuatu yang tidak boleh diselesaikan melalui slogan atau tekanan massa.
Hakikatnya, memerangi rasuah memerlukan kesabaran institusi, ketegasan undang-undang dan kejujuran dalam berdepan fakta. Dalam hal ini, kerajaan telah memulakan langkah melalui siasatan terhadap dakwaan yang timbul serta penstrukturan semula kepimpinan.
Maka, tuntutan yang dikemukakan harus berpijak pada realiti, bukan persepsi. Tanpa asas tersebut, suara yang dibawa mungkin lantang, tetapi tidak semestinya tepat.




