TINDAKAN pantas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta bantuan kerajaan Turkiye bagi membebaskan 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan rejim Zionis dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) membuktikan bahawa diplomasi bukan sekadar lawatan luar negara malah ia senjata kepimpinan sebenar.
Tidak sampai beberapa hari selepas penahanan, bantuan diplomatik Turkiye berjaya memastikan pembebasan semua sukarelawan Malaysia.
Ia hasil hubungan akrab antara Anwar dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan iaitu hubungan yang dibina bukan sehari dua, tetapi melalui usaha diplomatik berterusan selama ini.
Yang menariknya, penulis perasan antara sukarelawan yang dibantu itu termasuk individu yang suatu ketika dulu turun ke jalan membawa sepanduk ‘Turun Anwar!’
Ironinya, hari ini tangan yang sama mereka kutuk itulah yang menghulurkan pertolongan.
Pemimpin yang mereka tolak itulah yang kini memastikan mereka bebas daripada penjara rejim Zionis.
Namun, itulah bezanya antara pemimpin negara dan ahli politik.
Pemimpin sejati tidak tanya siapa undi siapa tetapi beliau bertindak untuk rakyat, bukan untuk parti.
Anwar tidak memilih bulu dan inilah wajah sebenar kepimpinan Kerajaan MADANI yang menjiwai makna keadilan dan kemanusiaan sejagat.
Apa yang lebih menarik, insiden ini ‘menampar’ tuduhan pembangkang yang sering memperlekeh Anwar kononnya asyik ‘melancong ke luar negara’.
Sekarang terbukti, ‘melancong diplomasi’ itulah yang membuahkan hasil.
Bukan duduk atas kerusi empuk sambil menulis status panjang di media sosial, tapi bergerak membina hubungan yang akhirnya menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia.
Bandingkan dengan mereka yang diberi jawatan Duta Timur Tengah kononnya untuk menjaga hubungan Islam antarabangsa, tapi senyap bila ada insiden seperti ini.
Yang duduk diam itu mungkin bijak berdoa di podium, tapi Anwar berdoa sambil bertindak dan itulah beza pemimpin kerja dengan ‘pemimpin kamera”.
Pembebasan sukarelawan GSF bukan hanya kejayaan diplomasi Malaysia, tapi juga mesej moral yang besar bahawa kepimpinan sejati tidak berdendam.
Yang pernah menentang, tetap dibantu.
Yang pernah mengutuk, tetap dibela.
Dan itulah ketinggian akhlak seorang pemimpin bernama Anwar Ibrahim.
Kesimpulannya, mereka yang dulu menjerit “Turun Anwar!” kini hidup kerana Anwar naik.
Peristiwa ini bukan sekadar kisah pembebasan, tapi cermin sebenar siapa yang bekerja demi rakyat, dan siapa yang hanya tahu berpolitik.
Kerana dalam dunia nyata, bukan siapa paling kuat berslogan yang dihormati, tetapi siapa paling pantas bertindak bila rakyat dalam bahaya.







