
KEMENTERIAN Komunikasi menyekat dua filem daripada ditayangkan di layar perak berikutan kegagalan pihak penerbitan membayar gaji kru produksi.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, dua filem tersebut telah menerima insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) kerajaan yang sepatutnya tidak menghadapi masalah pembayaran gaji kepada kakitangan mereka.
Tanpa menamakan filem terbabit, beliau memberi peringatan tegas kepada pihak berkenaan agar segera melunaskan bayaran sebelum filem mereka dibenarkan untuk tayangan.
“Kita mendapati sejak akhir-akhir ini ada sekurang-kurang dua filem yang saya tidak akan namakan, didapati tidak membayar kru walaupun pihak penerbit telah menerima Dana Kandungan Kreatif… jadi, kita telah halang tayangan.
“Kita memaklumkan kepada mereka untuk melunaskan bayaran-bayaran itu dahulu, kemudian baru kita akan membenarkan mereka memohon (tayangan), terutama bawah Skim Wajib Tayang,” katanya kepada media pada Majlis Sambutan Hari Seniman 2025, di ibu negara, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.
Terdahulu dalam ucapannya, Fahmi mengumumkan DKK bagi 2025 akan dibuka mulai 24 Mac ini dengan lima kategori ditawarkan, termasuk dua kategori baharu iaitu Dana Mikro Drama dan Dana Pasca Produksi.
Turut diperkenalkan semula ialah Dana Pemasaran dan Pengedaran.
Selain itu, Dana Program TV khusus untuk Borneo dan Dana Pemasaran bagi penyertaan serta promosi antarabangsa.





