
SEORANG ahli perniagaan yang bergelar Datuk bersama bekas Timbalan Speaker Dewan Negara ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa menerima rasuah berhubung kerja penambakan laut di kawasan perairan Kota Laksamana, di Melaka.
Menurut sumber, kedua-duanya ditahan selepas disyaki menerima rasuah empat unit kenderaan mewah selain wang tunai yang keseluruhannya dianggarkan berjumlah kira-kira RM300,000 daripada seorang pemilik syarikat bergelar Datuk membabitkan projek itu.
Masing-masing berusia lingkungan 60-an itu ditahan antara jam 4.30 hingga 5 petang Isnin ketika hadir di Pejabat SPRM Melaka bagi dirakamkan keterangan.
“Suspek yang berjawatan sebagai pengarah urusan sebuah syarikat dipercayai menerima rasuah empat unit kenderaan mewah selain wang tunai yang keseluruhannya dianggarkan berjumlah kira-kira RM300,000 daripada seorang pemilik syarikat bergelar Datuk.
“Suspek disyaki menerima rasuah berkenaan sekitar 2021 hingga 2023 sebagai balasan kerana memberikan kerja-kerja menambak laut seluas kira-kira 100 ekar (40.46 hektar) kepada syarikat milik individu bergelar Datuk terbabit,” katanya, hari ini.
Majistret Sharda Sheinha Mohamed Suleiman membenarkan perintah reman terhadap suspek selama enam hari sehingga 20 April, di Mahkamah Majistret Ayer Keroh pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie mengesahkan tangkapan terhadap kedua-dua suspek dan berkata, suspek kedua bergelar Datuk bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan SPRM sebaik keterangannya selesai dirakamkan.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.





