
SANDAKAN – Cubaan empat lelaki menyeludup 75,000 liter minyak sawit mentah (CPO) berjaya digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah di Jalan Sandakan-Kinabatangan, pada Khamis.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, kejayaan itu hasil operasi bersepadu pihaknya bersama penguat kuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kira-kira pukul 3.30 petang.
Beliau berkata, selain rampasan CPO, pihaknya turut merampas minyak masak diproses (PPO) yang dianggarkan bernilai RM2.96 juta.
“Kesemua suspek berumur 20 hingga 45 tahun ditahan ketika sedang memindahkan CPO dari sebuah lori ke tangki lain dan dipercayai cuba diangkut ke lokasi lain untuk tujuan penyelewengan.
“Hasil pemeriksaan lanjut oleh pasukan operasi membawa kepada penemuan sebuah premis di Bandar Ramai-Ramai yang menempatkan beberapa tangki simpanan CPO dan PPO,” katanya dalam kenyataan media, pada Jumaat.

Menurut Nazri, tangkapan terbaharu itu menjadikan keseluruhan 11 kes penyelewengan minyak sawit direkodkan setakat tahun ini di Sabah, dengan nilai rampasan mencecah RM12.2 juta serta melibatkan 23 tangkapan.
“Kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2005.
“Selain membanteras penyelewengan minyak sawit, PPM turut memberi tumpuan kepada pelbagai bentuk jenayah rentas sempadan dan aktiviti penyeludupan, khususnya di kawasan perairan ‘hotspot’ yang bersempadan dengan negara jiran,” katanya.
Sehubungan itu, PPM Wilayah 4 Sabah mengalu-alukan maklumat daripada orang awam dalam usaha membanteras kegitaan yang salah dan merugikan negara serta masyarakat setempat.
“Sebarang maklumat tersebut boleh disalurkan terus ke bilik gerakan di talian 088-454819 ataupun melalui media masa rasmi Facebook PPM Wilayah Sabah 4,” ujarnya.






