
BEIJING – China melancarkan Visa ASEAN untuk 10 negara anggota ASEAN serta Timor-Leste – selaku pemerhati ASEAN – menurut Kementerian Luar negara itu.
Jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian berkata, program berkenaan menawarkan visa pelbagai kemasukan selama lima tahun kepada pemohon yang layak melawat China bagi tujuan perniagaan – termasuk pasangan dan anak-anak mereka – dengan tempoh maksimum tinggal sehingga 180 hari.
“Bagi mereka yang mempunyai soalan lebih khusus berkenaan visa ke China, mereka diminta menghubungi perwakilan diplomatik dan konsular kami di negara masing-masing,” katanya melalui satu kenyataan.
Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan memudahkan perjalanan rentas sempadan di rantau ini, sebagai tambahan kepada pengecualian visa antara China dengan beberapa negara seperti Singapura, Thailand dan Malaysia, serta program ‘Visa Lancang-Mekong’ China untuk negara di lembangan Sungai Mekong.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, China dan ASEAN memperkukuh usaha ke arah membina sebuah komuniti dengan masa depan bersama.
“Lawatan antara rakyat China dan negara Asia Tenggara semakin kerap dilakukan.
“Terdapat harapan bersama untuk memudahkan lagi perjalanan antara kedua-dua pihak,” katanya.
Lin turut menjelaskan bahawa senarai negara dengan pengecualian visa yang semakin meningkat menunjukkan keazaman kukuh China meluaskan keterbukaan pada tahap tinggi.







