ISRAEL mengumumkan akan menyekat sebuah kapal yang membawa aktivis antarabangsa ke Semenanjung Gaza dalam usaha memecahkan sekatan laut yang dikenakan rejim Zionis ke atas wilayah itu, ketika krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing ekoran serangan ketenteraan berterusan oleh Israel.
Radio Tentera Israel melaporkan bahawa tentera laut rejim itu kini sedang membuat persiapan untuk menghalang kapal layar Madleen yang berlepas dari Sicily menuju ke Gaza dalam misi kemanusiaan anjuran Freedom Flotilla Coalition (FFC).
Kapal tersebut membawa 12 anak kapal, termasuk aktivis iklim dari Sweden, Greta Thunberg dan pelakon Ireland, Liam Cunningham.
Dalam kenyataan ringkas kepada media, tentera Israel berkata pihaknya sedang menguatkuasakan penutupan maritim demi keselamatan di Gaza dan bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan tanpa memberikan butiran lanjut, lapor Anadolu.
Menurut kenyataan FFC pada Isnin, kapal Madleen telah dilancarkan sebagai kapal awam yang membawa bantuan kemanusiaan serta aktivis hak asasi manusia dari pelbagai negara. Ia disifatkan sebagai satu tindakan aman membantah sekatan laut Israel yang didakwa sebagai haram dan bersifat genosid.
Antara penumpang kapal tersebut ialah Ahli Parlimen Eropah berketurunan Perancis-Palestin, Rima Hassan, selain Greta Thunberg. Kapal itu membawa pelbagai barangan bantuan penting untuk penduduk Gaza seperti susu bayi, tepung gandum, beras, lampin pakai buang, produk kebersihan wanita, kit penyahgaraman air, bekalan perubatan, tongkat dan anggota palsu kanak-kanak.
“Kami melakukan misi ini secara aman. Semua sukarelawan dan anak kapal Madleen telah menjalani latihan tanpa keganasan,” menurut kenyataan FFC.
Thunberg, dalam kenyataannya sebelum kapal berlayar, menyifatkan misi itu sebagai tindakan simbolik awam untuk memecahkan kepungan rejim Zionis ke atas Gaza.
“Jika masih ada secebis nilai kemanusiaan yang tinggal, kita wajib memperjuangkan hak Palestin. Saya berada di sini kerana ia adalah satu kewajipan,” katanya.
Kapal Madleen dijangka tiba di perairan Gaza dalam tempoh sekitar seminggu, namun berdepan risiko tinggi untuk dipintas oleh tentera Israel walaupun berada di perairan antarabangsa.
Terdahulu pada Mei lalu, sebuah lagi kapal FFC, Conscience, diserang dron tentera Israel di perairan antarabangsa sehingga menyebabkan kebakaran dan kerosakan teruk pada badan kapal.
Pejabat Media Gaza mendakwa Israel menggunakan kebuluran sebagai senjata untuk mengusir kira-kira 2.4 juta penduduk Palestin dari wilayah itu. Sejak 2 Mac lalu, rejim Zionis dikatakan menutup semua laluan sempadan dan menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan, khususnya bekalan makanan.
Israel terus mengingkari desakan antarabangsa supaya menghentikan serangan, malah meneruskan operasi ketenteraan di Gaza sejak Oktober 2023 yang telah meragut hampir 54,500 nyawa, majoritinya wanita dan kanak-kanak.
Agensi-agensi bantuan antarabangsa turut memberi amaran bahawa penduduk Gaza kini berdepan risiko kebuluran yang semakin kritikal.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel kini turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas tindakan kekejamannya terhadap penduduk awam di wilayah berkenaan.





