PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyelar tindakan segelintir ahli Parlimen yang didapati masih merokok di kawasan larangan dalam bangunan Parlimen.
Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata, tindakan itu memalukan sekali gus bertentangan dengan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin dan penggubal undang-undang.
Menurutnya, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, harus mengambil tindakan tegas ke atas sesiapa ahli Parlimen yang masih ingkar arahan (merokok di kawasan tidak dibenarkan) kerana mereka memilih untuk melanggar peraturan walaupun terdapat kawasan khusus disediakan untuk merokok.

“CAP kecewa dengan tindakan beberapa ahli Parlimen yang masih merokok di kawasan larangan di Parlimen baru-baru ini.
“Ini adalah sesuatu yang memalukan dan kami mahu Speaker Dewan Rakyat mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar peraturan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong mendakwa, masih terdapat ahli Parlimen yang tidak menghormati peraturan ditetapkan dengan merokok dalam bangunan Parlimen walaupun larangan telah dikeluarkan.
Beliau membangkitkan isu terbabit dengan harapan agar kempen tidak merokok dilaksanakan seiring dengan amalan mengurangkan gula dalam makanan yang digerakkan sebelum ini.
Menurut Poay Tiong, ahli Parlimen terlibat sepatutnya lebih sensitif dengan tidak merokok di kawasan larangan yang secara tidak langsung memberi kesan kepada individu yang tidak merokok.
Mengulas lanjut, Subbarow menegaskan, ahli Parlimen merupakan kelompok pemimpin masyarakat yang sepatutnya menjadi contoh yang baik serta teladan kepada rakyat.
“Ahli Parlimen terlibat telah mengingkari Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuat kuasa sejak 1 Oktober lalu.
“Ini adalah satu contoh buruk yang tidak sepatutnya ditunjukkan oleh pemimpin negara. Sebagai wakil rakyat mereka perlu menunjukkan teladan yang baik dan mematuhi undang-undang yang telah disokong sendiri oleh mereka,” tegasnya.
Tambah Subbarow lagi, KKM turut digesa mengambil tindakan tegas dengan mengenakan denda maksimum sebanyak RM5,000 di bawah Akta 852 kepada ahli Parlimen yang didapati melanggar peraturan larangan merokok itu.
“Tindakan segera diperlukan bagi memastikan semua pihak mematuhi undang-undang dan menjaga kesihatan awam di kawasan Parlimen,” ujar beliau.




