CADANGAN untuk menggubal Akta Antibuli yang menggunakan sistem tribunal bagi mendengar kes buli membabitkan pelajar dan kanak-kanak akan dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk pertimbangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan berkenaan akan dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, dalam mesyuarat Kabinet yang akan datang.
“Nanti, beliau (Azalina) akan bawa ke (mesyuarat) Kabinet. Kita akan bincang di Kabinet,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying; dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Semalam, media melaporkan bahawa Azalina memaklumkan kerajaan sedang mengkaji keperluan untuk menggubal suatu undang-undang khas berhubung isu buli, termasuk cadangan penubuhan tribunal bagi mendengar kes melibatkan pelajar dan kanak-kanak.
Menurut beliau, pada masa ini tiada peruntukan undang-undang khusus berkaitan kesalahan buli.
Sebaliknya, kes-kes sedemikian ditangani menggunakan peruntukan sedia ada dalam Kanun Keseksaan serta undang-undang lain yang berkaitan.
Walau bagaimanapun, Azalina menjelaskan bahawa wujud kebimbangan yang dibangkitkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kerana dalam banyak kes, pelaku dan mangsa adalah kanak-kanak.
Justeru, Akta Kanak-Kanak turut terpakai dalam konteks perundangan terhadap mereka.
Cadangan penggubalan akta tersebut turut mendapat perhatian selepas insiden menyayat hati melibatkan pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, yang meninggal dunia pada 17 Julai lalu di Sabah akibat dipercayai menjadi mangsa buli.
Dalam perkembangan berkaitan, timbul semula desakan masyarakat agar siasatan terhadap kes kematian pelajar tahfiz, Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, dibuka semula.
Kes tersebut berlaku 12 tahun lalu apabila pelajar itu ditemukan maut dalam tandas sebuah maahad tahfiz di Kok Lanas, Kelantan.
Allahyarham Wan Ahmad Faris yang merupakan pelajar Tingkatan Empat pada waktu itu, ditemukan tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman pada Disember 2013.
Mayatnya ditemukan oleh penyelia asrama selepas mengesan bau busuk dari tandas tersebut.
Hasil bedah siasat pada ketika itu mengklasifikasikan kematian sebagai kes kematian mengejut dan tiada unsur jenayah dikesan, namun pelbagai pihak kini mendesak agar kes berkenaan disiasat semula dengan lebih teliti.







