
KOTA KINABALU – Landskap kewartawanan dalam era digital dan kecerdasan buatan (AI) menuntut institusi pendidikan dalam bidang kewartawanan perlu memperkukuh hubungan strategik dengan pemain industri.
Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr Ainol Amriz Ismail berkata, perubahan pesat dunia media hari ini menjadikan hubungan antara institusi pendidikan dan industri bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan wajib.
“Dalam akademik ini, pelajar belajar mengikut silibus yang belajar satu-satu tetapi suasana dalam industri itu hanya orang industri yang tahu.
“Jadi, untuk mengetahui itu, universiti boleh melantik dalam kalangan industri ini sebagai panel industri ataupun orang yang boleh berkongsi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Forum Mini Kewartawanan: Viral, Kepantasan dan Ketepatan – Cabaran Media Era Digital oleh MPI di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, pada Khamis.
Mengulas keperluan wartawan masa kini, beliau menegaskan bahawa kewartawanan bukan lagi tertumpu kepada satu kemahiran sahaja, sebaliknya memerlukan penguasaan pelbagai kemahiran termasuk mahir merakam video, menyunting, mengambil gambar menggunakan telefon pintar.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa MPI tidak melihat AI sebagai ancaman, sebaliknya sebagai alat yang membantu kerja kewartawanan.
“AI boleh digunakan untuk mempercepatkan proses penulisan, menyemak fakta dan mengurus maklumat, namun wartawan tidak boleh bergantung 100 peratus kepada AI untuk menjana laporan.
“Teks dihasilkan AI perlu diolah semula oleh wartawan agar bersifat manusiawi dan beremosi selain disokong dengan kerja lapangan.
“Bila kita menjana melalui AI, kita akan mendapat berita yang keras, maknanya berita robot yang tidak dijana oleh emosi manusia,” ujarnya.
Mengulas isu lambakan berita palsu dan separuh benar di media sosial, Ainol berkata, keadaan itu berpotensi menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap media arus perdana.
“Kepercayaan khalayak terhadap media bergantung kepada keupayaan media menghasilkan berita yang berfakta.
“Jika media gagal dan membuat kesilapan pelaporan, khalayak akan menjadi keliru untuk mempercayai sama ada media arus perdana atau netizen,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memberi saranan agar media arus perdana tidak seharusnya bersaing dengan netizen dari segi kelajuan atau sensasi, sebaliknya berperanan menilai, menyemak dan memperbetulkan fakta serta menawarkan solusi kepada masyarakat.




