
KUALA LUMPUR – Hukuman denda RM100 yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret terhadap pekerja rumah kebajikan yang mengaku bersalah atas pertuduhan sengaja mengeluarkan kata-kata kesat menerusi akaun TikTok dianggap terlalu ringan dan menaikkan kemarahan banyak pihak.
Akibat perlakuan itu, seorang pempengaruh, A Rajeswary yang dikenali sebagai Esha nekad mencabut nyawanya sendiri. Ramai yang beranggapan jika inilah hukuman yang diberikan, tidak mustahil pembuli-pembuli siber lebih berani menindas secara terang-terangan.
Menyedari kepincangan hukuman yang diberikan, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat berkata, kerajaan akan meneliti keperluan untuk menggubal undang-undang baharu bagi menangani buli siber.
“Antara undang-undang sedia ada terkait buli siber ialah Seksyen 503 dan 509 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dan perkataan atau isyarat yang dimaksudkan mengaibkan kehormatan seseorang serta Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu pengguna tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain,” katanya.
Semalam beliau secara bersama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Menteri Digital, Gobind Singh telah mempengerusikan Mesyuarat Berkaitan Isu Buli Siber.
Mereka berpendapat adalah penting untuk menitikberatkan perubahan medium komunikasi agar ia bersesuaian dengan keperluan semasa dan masa hadapan.
“Selain isu buli siber, terdapat beberapa lagi isu yang melibatkan platform media sosial seperti penipuan (scam) dan judi dalam talian yang perlu diperbetulkan dengan mengambil tindakan tegas,” katanya.
Selain itu, Fahmi turut memohon bantuan Ahli Parlimen untuk memastikan kanak-kanak di bawah usia 13 tahun tidak memiliki akaun media sosial supaya Internet menjadi medium yang selamat untuk golongan itu.
Beliau turut menyatakan rasa kecewa terhadap platform-plaform yang dilihat culas membuat tapisan.