MELAKA – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis supaya tidak berdalih untuk membayar saman RM100 juta kerana melompat parti.
Katanya, tuduhan kononnya UMNO mahu menjadikan bekas Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Melaka itu muflis adalah tidak benar dan ia adalah fitnah.
“UMNO bukan nak mufliskan sesiapa sebaliknya hanya mahu menuntut semula janji yang diberi sewaktu menandatangani perjanjian sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2021.
“Kita tidak memaksa beliau untuk tandatangan perjanjian itu tetapi beliau sendiri yang berbuat demikian kerana hendak sangat menjadi calon mewakili UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Jadi, dia perlu bertanggungjawab terhadap apa yang dia persetujui sebelum ini,” katanya selepas meraikan lawatan delegasi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Centre on Integrated Rural Development Asia and The Pacific (CIRDAP) Ke-39 di Merlimau di sini hari ini.
Muhamad Jailani didakwa berkata, tuntutan UMNO sebanyak RM100 juta bertujuan untuk menjadikan dia muflis.
Beliau turut mengakui akan berdepan isu kewangan jika tuntutan terbabit dipenuhi, namun akan kekal dengan keputusannya menyertai Pas.
Dr Muhamad Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin, berkata ADUN Rembia itu dinasihatkan tidak memutarbelitkan fakta dengan dakwaan yang tidak beradas serta lari daripada situasi sebenar.
“Faktanya, kamu yang nak tandatangan perjanjian itu tanpa ada paksaan dan kamu perlu mengambil tanggungjawab apabila melompat parti.
“Terimalah sahaja kenyataan ini dan UMNO hanya menuntut balik janji yang kita sama-sama persetujui sebelum ini.
“Bagaimanapun saya nak ucapkan kepada Jailani, `good luck’ jika dapat mengumpulkan RM100 juta daripada sekarang untuk dibayar kepada UMNO,” katanya.
Hujung bulan lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dilaporkan berkata UMNO akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Jailani bagi menuntut ganti rugi dan pampasan sebanyak RM100 juta.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu yang turut mempertimbangkan dan bersetuju untuk memulakan tindakan undang-undang bagi menuntut ganti rugi dan pampasan sebanyak RM100 juta.
Tindakan itu sejajar perjanjian dimeterai terhadap wakil rakyat yang sudah meninggalkan dan membelakangi pendirian parti.






