TEMERLOH – Kumpulan penulis, ilmuwan dan tokoh budayawan Pahang diraikan dalam satu majlis berbuka puasa anjuran Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) di Temerloh, malam tadi.
Majlis itu bukan hanya untuk berkumpul dan berbuka puasa, tapi menjadi platform pertemuan penting dalam memperkukuh jati diri ummah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Lantikan) Pahang, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari berkata, menerusi majlis itu juga dapat membuka ruang pengisian ilmu.
“Seni dan budaya ini memainkan peranan penting dalam pembentukan jati diri serta tamadun.
“Selain kita berkumpul, berbuka puasa, dalam masa sama kita boleh berkongsi ilmu dan mengupas serba sedikit hal berkaitan adab bersajak dalam persuratan Melayu,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Beliau mewakili Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
![]()
Mempertahankan kedaulatan bangsa
Ahmad Irshadi turut menekankan kepentingan masyarakat Melayu untuk terus mempertahankan kedaulatan bahasa dan kebudayaan bangsa agar tidak ditelan zaman.
“Inisiatif sebegini amat bertepatan dalam membina generasi yang bukan sahaja celik ilmu, bahkan memiliki jiwa yang halus, beradab, dan berakhlak tinggi,” ujarnya.
Dalam majlis itu, Malam Nur Ramadan yang menjadi simbolik kepada kesungguhan DPMP dalam memartabatkan warisan persuratan Melayu berpaksikan nilai-nilai Islam turut dilancarkan.
Antara intipati penting dibangkitkan dalam majlis tersebut adalah rayuan para peserta agar nilai sejarah di Temerloh terus dipelihara.
Pihak DPMP menyasarkan untuk membawa usul kepada Kerajaan Pahang bagi memulihkan semula Rumah Pak Sako.
“Langkah memulihara rumah sasterawan negara itu dianggap kritikal memandangkan Temerloh adalah lokasi bermulanya sejarah perjuangan sasterawan besar tersebut.
“Selain itu, ia juga boleh menjadi tapak atau lokasi bersejarah agar jasa dan sumbangan beliau dikenali oleh anak muda masa kini,” kata kenyataan DPMP.






