
KOTA KINABALU – Guru Pendidikan Khas dari Sekolah Kebangsaan Bingkor, Dr Velerie Wheelervon Primus sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila dinobatkan sebagai pemenang rantau Asia Tenggara dan Pasifik bagi Cambridge Dedicated Teacher Awards 2026.
Kejayaan Velerie mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai kebanggaan buat seluruh sistem pendidikan dan negara menerusi hantaran di laman Facebook rasminya pada khamis.
“Saya pernah mengadakan lawatan ke SK Bingkor di Sabah dan melihat sendiri kegigihan Dr Velerie memartabatkan pendidikan untuk murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK).
“Jika sebelum ini beliau pernah dinobatkan sebagai pemenang Malaysia Teacher Prize 2024, kali ini usaha tanpa mengenal lelah Dr Velerie terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
“Seperti yang pernah beliau ungkapkan, ‘Miracles do happen!’,” katanya menerusi satu hantaran media sosial.

Velerie dipilih daripada lebih 12,000 pencalonan guru seluruh dunia hasil dedikasi memperjuangkan pendidikan inklusif serta pembangunan murid neurodivergent di negara ini.
Melalui pendekatan pendidikan berinspirasikan budaya, seni dan terapi sensori, beliau berjaya membawa perubahan dalam landskap pendidikan khas di Sabah sehingga mendapat perhatian dunia.
Usaha beliau turut melahirkan pelbagai inovasi pendidikan, kejayaan antarabangsa dalam seni persembahan serta memberi impak kepada ribuan murid, guru dan keluarga.
Kejayaan itu sekali gus membuktikan guru dari pedalaman Sabah mampu berdiri megah di pentas dunia sambil membawa suara pendidikan Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Untuk rekod, Velerie juga pernah dinobatkan sebagai Randawi Tavantang Kaamatan 2010 turut dikenali aktif memperjuangkan seni, budaya dan identiti Sabah di peringkat nasional serta antarabangsa.
Foto: Facebook Vonn Primus




