HUKUMAN tahanan di rumah boleh dilaksanakan di negara ini, tanpa memerlukan penggubalan undang-undang baharu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said,
Azalina berkata, Pejabat Peguam Negara berpandangan, Akta Penjara sedia ada memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri (MDN) mengisytiharkan mana-mana rumah, bangunan atau tempat sebagai penjara.
“Dengan kata lain, menteri (MDN) mempunyai kuasa mengisytiharkan suatu rumah sebagai tempat yang sah untuk menahan banduan, tertakluk kepada peruntukan-peruntukan mengikut Akta Penjara 1995,” katanya.
Azalina berkata demikian sebagai jawapan kepada soalan dikemukakan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang mahu tahu sama ada undang-undang Malaysia membenarkan tahanan rumah, khususnya berkaitan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ketika ini, Najib terbabit dalam pertikaian di mahkamah untuk ditempatkan di bawah tahanan rumah, yang didakwa dikurniakan kepadanya melalui Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-15.
Titah Adendum itu adalah tambahan kepada perintah mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap Najib dalam sabitan kes SRC International.
Namun, wujud persoalan sama ada Titah Adendum itu sah, kerana ia dikeluarkan Seri Paduka di luar mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Azalina memberitahu, minit mesyuarat Lembaga Pengampunan membincangkan pengampunan terhadap Najib telah dinyahklasifikasi untuk pertikaian di mahkamah.
Beliau berkata, Seksyen 43 Akta Penjara memberi kuasa kepada Ketua Pesuruhjaya Penjara membebaskan banduan dengan lesen, tertakluk kepada syarat tertentu.
“Pelepasan berlesen ini membolehkan banduan menjalani hukuman penjara, menjalani sebahagian hukuman di luar dengan syarat mematuhi peraturan khusus yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Jika banduan gagal mematuhi terma lesen mereka atau melanggar mana-mana syarat, mereka boleh didenda atau dipenjara semula,” jelasnya.




