
PUTRAJAYA – Mahkamah Syariah diseru mengambil inisiatif bagi menjalankan prosiding sebutan kes secara dalam talian yang membabitkan penglibatan masyarakat awam dan Peguam Syarie yang berurusan di Mahkamah Syariah.
Bagaimanapun, Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berpendapat, prosiding perbicaraan, keputusan atau Majlis Sulh boleh diteruskan secara fizikal seperti sediakala.
Menurut beliau, cadangan itu dilihat mampu menjadi suatu langkah penjimatan serta dapat membantu mengurangkan beban tenaga, susulan krisis tenaga global yang masih berterusan dan dijangka berpanjangan.
“Dari sudut undang-undang syariah, prosiding secara dalam talian atau melalui teknologi komunikasi jarak jauh boleh dijalankan. Dengan merujuk kepada beberapa peruntukan, antaranya Seksyen 40A, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1993 (Pindaan 2024).
“Akta itu menyatakan seseorang Hakim atau Pendaftar yang menjalankan suatu prosiding bagi kes mal boleh menentukan supaya prosiding itu atau mana-mana bahagian prosiding itu dijalankan melalui teknologi komunikasi jarak jauh.
“Selain itu, seksyen 3 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 (Pindaan 2022), “hadir” termasuklah kehadiran oleh mana-mana orang secara teknologi komunikasi jarak jauh, sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah,” katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.

Untuk permulaan, Musa berpandangan, fokus awal boleh dilaksana di kawasan berimpak tinggi seperti di Lembah Klang, semua ibu negeri serta bandar-bandar utama lain, khususnya yang mengalami masalah kesesakan jalanraya.
Menurut beliau, fasa seterusnya boleh dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara, secara berperingkat.
“Pelaksanaan itu diharap dapat membantu mengurangkan beban tenaga, selain memberi keseimbangan dan memastikan kelangsungan kehidupan kepada masyarakat awam dan Peguam Syarie yang terlibat.
“Langkah tersebut juga sebagai sebahagian langkah strategik bagi memperkukuh kesiapsiagaan dalam menghadapi krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat,” katanya.






